fbpx
Painah Siwan ditemui selepas hilang lima hari di ladang kelapa sawit kelmarin.

Painah Siwan ‘dijaga’ lima hari lembaga tinggi bercahaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Selepas hilang selama lima hari ketika mencari lidi di kawasan rumahnya, seorang warga emas, Painah Siwan,79, berjaya dijumpai di kawasan sekitar perumahan lama British kira-kira 800 meter dari kediamannya di Kampung Parit Kasih Sayang, Senggarang, Batu Pahat Johor kelmarin.

Seorang ahli Paranormal yang menjumpai wanita tersebut, Mohd. Fitri Abdul Razak, 32, berkata, ketika dijumpai, Painah kelihatan seperti ditampung oleh satu lembaga tinggi yang kelihatan bercahaya di belakangnya dalam kawasan lumpur tebal.

Bercerita lanjut, Mohd. Fitri berkata, ketika pertama kali sampai ke kawasan pencarian dia dan sahabatnya yang dikenali sebagai Jas meminta kebenaran terlebih dahulu dari ahli keluarga Painah lalu meminta gambar serta nama berbintikan emak.

“Selepas dapat keizinan, kami memasuki kawasan belakang dari tempat pencarian sebenar, kami luaskan kawasan pencarian sekitar 10 kilometer (km) dan kawasan yang kami masuki adalah sedikit kebelakang.

“Lingkungan pukul 11.15 malam, kami sedar yang kami hanya berjalan di sekitar tempat yang sama hampir empat jam kemudian kami berehat dan bermalam di situ sehingga subuh.

“Kami teruskan perjalanan pagi esok dan menemui satu kawasan perumahan ibarat perumahan kolonial British yang ditinggalkan, banyak kaca-kaca mangkuk pecah bertaburan di situ,” jelasnya kepada Kosmo! semalam.

Berita berkaitan: Wanita warga emas hilang dijumpai semula lepas 5 hari

Painah Siwan dilaporkan hilang selepas keluar mencari daun kelapa sawit untuk dijadikan penyapu lidi pada 10 Ogos lalu ditemui selamat hanya kira-kira 1.4 Kilometer dari rumahnya .

Ketika meneruskan pencarian, beberapa tanda atau petunjuk telah ditemui sekitar kawasan tersebut antaranya daun pokok yang bergoyang walaupun tiada kejadian angin ketika itu.

“Ada satu pokok yang daunnya bergoyang walaupun tiada angin serta kami turut terserempak dengan binatang antaranya biawak dan ular sawa.

“Kemudian kami terlihat satu bentuk ibarat batu terdampar yang dipenuhi selut, saya mengikut gerak hati dan ternyata bentuk itu adalah Painah Siwang yang dilihat seakan-akan bersandar pada batang kayu yang bercahaya dan lut sinar,” jelasnya.

Sementara itu, bagi Jas, selepas menemui wanita tersebut, mereka berdua terus melaungkan azan dan memasuki kawasan lumpur tersebut dengan ayat suci al-Quran sebelum mengambil warga emas itu yang sudah kelihatan letih.

“Ini semua adalah kuasa kebesaran Allah, kami berjaya menemui ‘nenek’ yang sudah kelihatan terlalu letih. Kami ada tanyakan kenapa dia berada di situ, dia hanya menjawab cari lidi.

“Alhamdulillah, walaupun banyak perkara mistik yang berlaku sepanjang beberapa jam pencarian nenek, dengan izin Allah kami berdua berjaya,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN