fbpx
WARNA putih merupakan rona kegemaran pasangan suami isteri ini untuk dijadikan tema utama rumah teres dua tingkat mereka.

Kini warna putih jadi pilihan, bawa ketenangan minda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI ERA 80-an dan 90-an, kebanyakan kediaman di negara ini cuba mengelak dicat dengan warna putih terutamanya di bahagian dalam.

Ini kerana, pada waktu itu persepsi pemilik rumah mengatakan rona tersebut senang kotor dan susah ditanggalkan, selain remeh untuk membersihkannya.

Lebih memberi kesan apabila sesebuah keluarga mempunyai anak kecil yang sememangnya sangat kreatif melukis imaginasi mereka di dinding rumah menggunakan pensil atau pen.

Namun kini, semuanya berubah selari dengan peredaran zaman warna putih menjadi kegemaran sebahagian pemilik rumah kerana mereka berasakan ia membawa ketenangan jiwa apabila berada dalam kediaman masing-masing.

———————————————————————————————————————————————————————————————————————–SUATU ketika dahulu, rona putih sering dielak oleh pemilik kediaman bukan sahaja kerana sukar dijaga, tetapi juga dikhuatiri kotoran yang hinggap pada permukaan tersebut akan mudah kelihatan dan sukar dibersihkan.

Bagaimanapun, seiring peredaran waktu, putih kini menjadi pilihan hampir setiap pemilik kediaman. Bukan sahaja mampu menjadikan sesebuah ruang kelihatan lebih luas, ia juga merupakan warna bersifat evergreen dan mampu mewujudkan perasaan tenang.

Bagi pasangan suami isteri, Nurul Ashikin dan Muhamad Hazlee, selain mampu menonjolkan ilusi luas kediaman, warna putih dipilih sebagai
warna utama teres dua tingkat mereka yang terletak di Kuala Lumpur itu kerana merupakan rona kegemaran merpati dua sejoli ini.

Bagaimanapun, tidak bergantung kepada penggunaan rona putih semata-mata, pasangan ini bijak menggabungkan rona bumi bagi perabot supaya dapat menonjolkan elemen natural dalam kediaman berkeluasan kira-kira 125 meter persegi itu.

Bercerita lanjut, menurut wanita yang mesra dipanggil Shikin itu, rona tersebut bersesuaian dengan konsep Inggeris moden dengan garapan sedikit elemen minimalis dan Scandinavian yang diketengahkan pada kediaman yang ada empat bilik tidur itu.

GABUNGAN rona-rona ceria diselitkan pada bilik si puteri.

“Kami mendiami rumah ini sejak tujuh tahun lalu. Sebelum ini, saya langsung tidak terfikir untuk menghias kediaman disebabkan kekangan masa dan kesibukan bekerja.

“Selepas melahirkan cahaya mata yang ditunggu-tunggu hampir lima tahun, kami mengambil keputusan untuk memberikan lebih keselesaan kepada anak dengan mengubah suai rumah ini dan menghiasnya bagi menampakkannya lebih segar mengikut cita rasa kami,” katanya.

Biarpun tidak disarati dengan pelbagai aksesori, namun Shikin berjaya menaikkan seri kediaman itu dengan hanya menggunakan tata rias begitu minimal dan ringkas.

Lebih mengagumkan, apabila padanan warna putih dan tanah yang dipilih langsung tidak membuatkan ruang tersebut tampak suram. Sebaliknya, ia kelihatan sangat eksklusif dan mempunyai aura tersendiri.

Menurut wanita yang berasal dari Shah Alam, Selangor ini lagi, dia lebih mengutamakan functionality value berbanding nilai estetik dalam menata rias mahligai yang dihuni.

Mengambil contoh bahagian dapur, ketika rekaan dibuat, Shikin lebih menekankan elemen fungsi dan kegunaan mengikut rutin hariannya.

“Saya banyak menggunakan organizer dan aksesori supaya lebih mudah untuk dicapai, selain memastikan tersimpan kemas di dalam kabinet. Jadi, tampak lebih tersusun dan kemas.

“Saya kurang gemar barang-barang atau perkakas di dapur bersepah di atas counter top kerana tidak mahu ruang itu sempit. Ini banyak diambil berdasarkan pengalaman daripada dapur lama yang tidak tersusun,” ujarnya.

Pengalaman melanjutkan pengajian dalam jurusan kejuruteraan awam selama lima tahun dipraktikkan sepanjang tempoh pengubahsuaian. Mereka melakukan rekaan dalaman kediaman sendiri pada tahun lalu tanpa mengubah struktur utama rumah.

Memulakan rekaan pada Mac 2020, mereka mula mengubah suai kediaman pada Jun tahun lalu sebelum siap sepenuhnya pada September.

Kata Shikin lagi, selain menjadikan rancangan mengubah suai rumah lama kepada dikenali sebagai Fixer Upper, idea dekorasi kediaman tersebut juga diperoleh daripada pengalaman ketika melancong ke luar negara.

SELAIN dekorasi yang cantik, Shikin juga mengutamakan fungsi dalam menata rias kediaman terutamanya bahagian dapur.

“Sebelum ini, kami memang suka melancong dan setiap kali ke negara orang, kami akan menyewa kediaman di sana.

“Biarpun rata-rata kediaman tersebut kecil, tetapi sangat ringkas dan tersusun.

“Jadi kami mengaplikasikan apa yang dilihat di sana. Ia tidak terlalu mewah, dekorasinya juga tidak padat, tetapi selesa,” tambahnya

Akui Shikin, penggunaan warna putih sememangnya mudah membuatkan sesuatu barangan tampak kotor dan berhabuk.

Berkongsi tip penjagaan kediaman, wanita ini menjelaskan, mereka suami isteri akan sentiasa mengelap permukaan tersebut bagi memastikan ia bersih.

Bagaimanapun terangnya lagi, untuk apa-apa jenis warna dekorasi kediaman sekalipun, individu perlu sentiasa rajin membersihkan supaya lebih selesa dan mampu mewujudkan pengudaraan yang baik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN