PETALING JAYA – Faktor kewangan tidak stabil pada musim pandemik selain khuatir kehilangan mata pencarian atau pengurangan gaji mendorong pasangan suami isteri terutama daripada golongan muda untuk merancang keluarga.
Keputusan itu, sama ada untuk memiliki atau menambah zuriat terpaksa dilupakan lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi yang tidak menentu ekoran penularan Covid-19 ketika ini.
Pakar Kewangan Pengguna dan Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri berkata, situasi ekonomi tidak menentu dengan inflasi tinggi, kadar pengangguran meningkat di samping kenaikan harga barang telah menyebabkan pengurusan kewangan keluarga menjadi lebih mencabar.
“Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak berpenghujung menyebabkan ketidaktentuan ekonomi walaupun kes harian menunjukkan sedikit penurunan.
“Justeru, merancang keluarga terutamanya dalam kalangan pasangan muda boleh membantu mereka untuk mengurangkan tekanan kewangan semasa pandemik,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata, pasangan muda yang baharu berkeluarga misalnya, mempunyai komitmen perbelanjaan tinggi meliputi pembiayaan pinjaman pendidikan, kenderaan dan rumah ditambah faktor baharu melangkah ke alam pekerjaan.
Dalam hal ini katanya, perancangan kewangan perlu mengambil kira pendidikan anak-anak dari peringkat rendah hingga peringkat tinggi, di samping menyediakan pelan insurans dan takaful sebagai perlindungan.
Katanya, kegagalan mengurus kewangan boleh mendorong pasangan tersebut menjadi mangsa skim penipuan online atau terlibat dalam pinjaman ah long.
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia pada November tahun lalu, penduduk Malaysia adalah seramai 32.69 juta orang dengan peningkatan 0.4 peratus berbanding tahun 2019 iaitu seramai 32.56 juta orang.
Jabatan sama turut memaklumkan, seramai 116,434 kelahiran direkodkan dalam tempoh berkenaan iaitu menurun sebanyak 5.9 peratus berbanding tahun 2019 dengan 123,751 kelahiran.
Dalam pada itu, Pakar Perubatan Keluarga, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Sharifah Najwa Syed Mohamad berkata, ada yang menjadikan isu hamil semasa tempoh PKP sebagai jenaka, sedangkan perancangan keluarga amat penting dan perlu diberi keutamaan bagi setiap pasangan.
Beliau berkata, perancangan keluarga penting terutama selepas mengambil kira kesihatan ibu yang perlu bersedia dari segi mental, emosi dan fizikal di samping mewujudkan keluarga yang berkualiti dan sejahtera.
“Mengikut sudut pandangan Islam, ulama rata-ratanya membenarkan amalan merancang keluarga selagi tidak bercanggah dengan syarak,” katanya.
Katanya, jika seorang ibu hamil dijangkiti Covid-19, risiko kelahiran pramatang dan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) adalah tinggi disebabkan risiko jangkitan yang lebih teruk.
“Jika ibu positif Covid-19 dan bayi negatif, ibu perlu ditahan di wad, manakala anak perlu balik ke rumah dan menjadi isu apabila anak tidak dapat disusukan dan perlu dijaga orang lain.
“Hal sebegini akan meningkatkan kerunsingan pada ibu dan dibimbangi pula akan meningkatkan kes kemurungan selepas bersalin,” katanya.

Perlu belanja RM1,500 untuk besarkan seorang anak
PETALING JAYA – Kos membesarkan seorang cahaya mata yang mencecah belanja hampir RM1,500 sebulan menjadi antara faktor ramai pasangan muda di negara ini mula merancang pembentukan keluarga mereka.
Selain daripada kos tinggi, rata-rata pasangan muda mengambil pendekatan merancang keluarga berikutan bimbang dengan situasi semasa Covid-19 yang menyebabkan keadaan ekonomi menjadi tidak menentu.
Pekerja swasta, Nathasha Amirah Ahmad, 27, berkata, dia dan suami memperuntukkan hampir RM1,500 sebulan bagi keperluan anak mereka yang baharu berusia tujuh bulan.
“Keperluan itu termasuklah penjagaan harian, susu formula, lampin pakai buang selain kos pemeriksaan kesihatan berjumlah kira-kira RM300 sebulan di pusat perubatan swasta.
“Kami tiada pilihan dan perlu membuat pemeriksaan bayi di hospital swasta kerana kedua-dua bekerja pada Isnin hingga Jumaat. Hanya hari Sabtu atau Ahad boleh ke hospital,” katanya di sini semalam.
Ketika ditanya mengenai perancangan keluarga, Nathasha menjelaskan, pada mulanya hanya dia seorang yang merancang sedemikian berikutan bimbang dengan situasi semasa Covid-19.
“Sebenarnya, saya seorang sahaja yang mahu merancang keluarga memandangkan anak sulung baru berusia tujuh bulan. Bagaimanapun, suami mahu seorang anak lagi sebelum kami berusia 30 tahun.
“Jadi, bila mengetahui saya mengandung anak kedua baru-baru ini, saya mengalami kemurungan hampir dua minggu berikutan memikirkan kos tinggi selain persiapan kami berdua untuk membesarkan dua orang anak,” jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, sokongan diberikan suami selain rakan-rakan terhadap kehamilan keduanya memberi semangat kepadanya untuk mengatasi situasi kemurungan itu.
Senada dengan Nathasha ialah personaliti televisyen, Fatin Hamimah Yusof, 31, yang turut mengambil pendekatan sama khususnya ketika tempoh PKP.
Jelasnya, dia dan suami membuat perancangan keluarga bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak tunggal mereka selain sebagai langkah menguruskan kewangan keluarga.
“Jika ada pertambahan anak, ia mungkin memberi kesan kepada kewangan kami memandangkan kos penjagaan semakin tinggi lebih-lebih lagi apabila sekolah ditutup ketika PKP.
“Sebelum ini, apabila ada pembantu rumah, keadaan mungkin terkawal, namun selepas khidmat agensi itu dibekukan seketika, kami perlu memperuntukkan lebih wang bagi penjagaan harian,” jelasnya.
Katanya, apa yang penting sekarang ini ialah memastikan anaknya mendapat penjagaan sempurna selain tidak mengalami tekanan ketika tempoh PKP.
“Saya dan suami bekerja dalam industri media di mana setiap hari jadual kami begitu padat, biarlah kami tumpukan kepada seorang anak dahulu selari dengan tahap kewangan ketika ini,” ujarnya.















