KUCHING – Seramai 400 murid daripada keluarga kurang berkemampuan di 25 sekolah sekitar Kuching dan Padawan menerima sumbangan kelengkapan persekolahan menerusi Program Ceria Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di PCC Demak, di sini, hari ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program itu bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan keluarga menjelang sesi persekolahan 2027, malah memberi perhatian kepada kesejahteraan emosi murid menerusi sesi kaunseling dan sokongan psikososial.
“Melalui Ceria Kasih Yayasan Kebajikan Negara, kita menyampaikan sumbangan kelengkapan persekolahan untuk meringankan belanja keluarga. Saya harap bantuan ini memberi semangat kepada anak-anak pada hari pertama persekolahan nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Program anjuran YKN dengan kerjasama rakan strategik itu membabitkan 19 sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuching dan enam sekolah di bawah PPD Padawan.
Setiap murid menerima baucar pakaian sekolah bernilai RM100 yang boleh ditebus di MYDIN, beg sekolah, beg aktiviti kokurikulum serta susu Dutch Lady.
Nancy yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN turut mengingatkan ibu bapa supaya memantau penggunaan gajet dalam kalangan anak-anak, termasuk aplikasi yang digunakan, kumpulan sembang disertai dan individu yang berhubung dengan mereka dalam talian.
Beliau turut menasihatkan murid supaya segera memaklumkan kepada ibu bapa, penjaga atau guru sekiranya menerima mesej yang membuatkan mereka berasa takut atau tidak selesa. – KOSMO! ONLINE














