VALENCIA – Ducati berdepan cabaran besar membentuk semula barisan pelumba terbaik menjelang musim 2027 susulan bintang utamanya, Marc Marquez membuatkan keputusan untuk bersara di pentas Kejuaraaan Motosikal Dunia (MotoGP) serta penghijrahan Francesco ‘Pecco’ Bagnaia ke pasukan Aprilia musim depan.
Kehilangan dua pelumba berstatus juara dunia itu pada hari yang sama di Grand Prix (GP) Valencia menjadi tamparan besar buat pengeluar dari Bologna berkenaan ketika mereka bersiap menghadapi peralihan era baharu peraturan teknikal enjin 850cc.
Hari penutup musim 2026 di Litar Ricardo Tormo bertukar detik sukar buat Ducati apabila Marquez mengumumkan persaraan mengejut daripada kancah perlumbaan, manakala Bagnaia melengkapkan perpindahannya ke kem Aprilia bagi saingan 2027.
Situasi itu menyaksikan Ducati kini perlu merangka semula perancangan jangka panjang mereka, terutama dalam usaha membentuk barisan pelumba kompetitif musim depan.
Pengurus pasukan Ducati, Davide Tardozzi mengakui pengumuman persaraan Marquez benar-benar mengejutkan pihak pengurusan kerana pelumba Sepanyol itu baru sahaja menandatangani lanjutan kontrak dua tahun pada Jun lalu.
“Ia satu kejutan yang sangat besar buat kami. Memang amat perit menerima berita sebegini pada bulan November, namun kami sedar dan maklum mengenai kesakitan fizikal serta masalah penglihatan (diplopia) yang dialaminya.
“Kami menghormati keputusannya kerana ini adalah pilihan terbaik untuk dirinya,” kata Tardozzi yang dilihat sedih kehilangan bintang utamanya itu dalam perlumbaan MotoGP musim depan.
Situasi berkenaan turut meletakkan Ducati dalam keadaan sukar mengisi satu lagi kekosongan kerusi jentera kilang Desmosedici bagi bergandingan dengan bintang muda, Pedro Acosta yang disahkan menyertai pasukan itu dari KTM musim depan.
Pengurus Besar Ducati Corse, Gigi Dall’Igna mendedahkan beliau hanya dimaklumkan mengenai keputusan Marquez pada petang Khamis, namun enggan tergesa-gesa menentukan pengganti sehingga segala urusan perlumbaan terakhir pelumba itu selesai di Valencia.
“Sangat sukar membayangkan MotoGP tanpa Marc (Marquez), namun kita wajib menghormati keputusannya. Kami memang perlu mencari pelumba baharu, tetapi kami mempunyai sedikit masa untuk menimbangkannya pada Isnin nanti sebelum sesi ujian rasmi bermula,” jelas Dall’Igna.
Beberapa nama mula dikaitkan untuk mengisi kerusi panas berkenaan termasuk pelumba muda berbakat, Fermin Aldeguer serta bintang Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK), Nicolo Bulega, biarpun Ducati menegaskan proses pemilihan masih terbuka.
Ducati kini perlu segera memuktamadkan barisan pelumba mereka sebelum sesi ujian rasmi pramusim membuka tirai di Litar Ricardo Tormo, Selasa depan. – AGENSI














