KREDIBILITI jurulatih baharu skuad bola sepak kebangsaan, Bojan Hodak bakal teruji untuk mencari dan menerapkan ramuan terbaik bagi memacu Harimau Malaya ke arah lebih baik.
Perkara utama pastinya menjurus kepada perancangan Hodak untuk menyesuaikan pendekatannya dengan tuntutan pasukan kebangsaan kerana cara mengendalikan pasukan di peringkat kelab dan negara adalah berbeza.
Ejen berpengalaman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Effendi Jagan Abdullah berkata, ujian sebenar Hodak adalah menyesuaikan pendekatannya dengan tuntutan skuad kebangsaan.
“Bukan senang untuk membawa Persib Bandung memenangi Liga Indonesia tiga kali berturut-turut tetapi kita kena faham pengurusan pasukan liga dengan pasukan kebangsaan berbeza. Bolehkah Bojan membawa pendekatan di sana ke tahap skuad kebangsaan?
“Beliau sudah memahami budaya pemain Malaysia, namun dengan kehadiran ramai pemain naturalisasi dan warisan, beliau perlu melihat bagaimana untuk membentuk formula yang berjaya dalam skuad kebangsaan,” katanya.
Dari segi pengalaman, Hodak sudah cukup sinonim dengan bola sepak Malaysia kerana pernah membimbing beberapa kelab tempatan termasuk UPB-MyTeam, Kelantan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC selain pernah mengemudi skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19).
Effendi juga percaya faktor pengalaman Hodak menjadikan ‘tanda harga’ dirinya cukup tinggi namun masih dianggap berbaloi.
“Saya rasa memang harga pasaran Hodak seperti itu, sekitar USD50,000 (RM205,000 sebulan). Beliau sememangnya memerlukan satu pakej lumayan, selain tawaran yang dikemukakan wajar sekurang-kurangnya setara atau sedikit lebih tinggi.
“Bojan seorang yang tegas dengan pendiriannya sendiri dan akan melakukan perkara yang diyakini betul tanpa mudah terpengaruh dengan campur tangan luar, justeru semua pihak perlu memberikan sokongan penuh serta ruang masa,” ujarnya.














