KUALA LUMPUR – Pelakon Fazura mengakui tindakan tindakannya menayangkan cincin dalam satu acara hanyalah sekadar gurauan bagi membalas usikan rakan selebriti, Elly Mazlein.
Bagi Fazura atau nama lengkapnya Nur Fazura Sharifuddin, 43, situasi tersebut tercetus secara spontan apabila wanita yang mesra disapa Kak Lina itu berseloroh mendakwa pelakon Que Haidar adalah miliknya.
“Itu gurauan semata-mata sebab Kak Lina memang tengah sakit hati dengan saya, dia kata Que dia punya.
“Jadi kita berlawan-lawanlah dekat situ,” selorohnya ketika ditemui semasa sesi meet & great duta Jakel 2026.
Bercakap mengenai hubungan bersama Que, pelakon filem Pisau Cukur itu menjelaskan bahawa mereka sudah lama menjalin persahabatan dan aktor terbabit sememangnya antara teman lelaki yang paling akrab dengannya.
“Kami dah bersahabat lama selama 20 tahun dan sudah semestinya macam saya sebut sebelum ini, Que adalah rakan lelaki yang paling rapat dengan saya.
“Tapi di tahap sekarang ini, kami masih mengenali hati budi masing-masing.
“Untuk ke hadapan, kami masih berdoa, insya-Allah mudah-mudahan. Kami berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mendoakan kami,” ujarnya.
Malah, Fazura juga enggan tergesa-gesa dalam membuat sebarang keputusan selain berterima kasih atas doa orang ramai.
“Kami sepakat, kalau ada jodoh yang Allah redai, adalah. Kita tak mahu terburu-buru nak buat keputusan yang mendadak.
“Jadi yang penting adalah saya gembira, mudah-mudahan. Terima kasih yang mendoakan dan terus doakan yang terbaik,” ujarnya.
Ditanya mengenai panggilan manja yang sering digunakan kepada Que, Fazura menganggap perkara tersebut hanyalah gurauan semata-matax
“Gurauanlah bersama-sama,” ujarnya.
Sebelum ini, Fazura menayangkan cincin di jarinya seolah-olah dirinya sudah diikat.
Terdahulu, kemesraan hubungan Que dan Fazura menjadi bualan ramai selepas kedua-duanya dilantik sebagai duta dan bekerjasama mempromosikan sebuah jenama tesktil tempatan.
Hubungan mesra mereka turut membuatkan ramai mula ‘menjodohkan’ pasangan sahabat itu selain tercetus tanda pagar #QuelaFaz.
Bagaimanapun, Que menegaskan hubungannya bersama Fazura ketika ini tidak lebih sekadar sahabat baik. – KOSMO! ONLINE














