Gambar Hiasan

MITI, Pekema teroka eksport kenderaan terpakai ke Bangladesh, Pakistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) berhasrat memperluas penglibatan usahawan bumiputera dalam perdagangan automotif antarabangsa menerusi penerokaan pasaran eksport kenderaan terpakai ke Bangladesh dan Pakistan.

Usaha itu merupakan antara hala tuju baharu Pekema dalam mempelbagaikan sumber pendapatan syarikat ahli, selain mengembangkan perniagaan yang sebelum ini lebih tertumpu kepada aktiviti pengimportan kenderaan.

Barisan kepimpinan baharu Pekema bagi penggal 2026-2029 bergambar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Pekema Kali Ke-45 yang berlangsung di Petaling Jaya, semalam.

Presidennya, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, perubahan landskap industri automotif menuntut syarikat ahli meningkatkan kecekapan operasi dan berani meneroka peluang perniagaan di luar model konvensional.

Menurutnya, Pekema yang ditubuhkan pada 1981 kini mempunyai 440 syarikat ahli di seluruh negara berbanding hanya 48 syarikat pada peringkat awal penubuhannya.

“Pekema bukan sekadar sebuah persatuan, tetapi sebuah ekosistem yang perlu terus berkembang dalam persekitaran yang lebih segar dan mampan.

“Kita mahu usahawan Bumiputera bukan sahaja mengambil bahagian dalam perubahan industri, malah turut menjadi sebahagian daripada rantaian nilai dan pembangunan industri automotif negara,” katanya pada pada Mesyuarat Agung Tahunan Pekema Kali Ke-45 semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hanafi Sakri menggalakkan Pekema memanfaatkan kepakaran ahlinya dalam bidang pengimportan untuk meneroka peluang eksport, khususnya pasaran kenderaan terpakai ke Bangladesh dan Pakistan.

Beliau berkata, perbincangan lanjut antara MITI, Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) serta Pekema perlu diadakan bagi meneliti potensi pasaran, prosedur eksport dan standard pemeriksaan kenderaan yang ditetapkan negara pengimport.

Penerokaan pasaran tersebut memerlukan kajian menyeluruh termasuk mengenal pasti model kenderaan yang bersesuaian, syarat kemasukan serta keperluan pematuhan negara berkenaan bagi memastikan aktiviti perdagangan dapat dilaksanakan secara teratur.

Langkah itu juga berpotensi mengubah peranan Malaysia daripada hanya menjadi negara pengimport kepada pemain dalam perdagangan eksport kenderaan terpakai, sekali gus membuka ruang kepada syarikat Bumiputera menyertai rantaian perdagangan automotif antarabangsa.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN