Ismail Sabri.

Ismail Sabri didakwa esok, hadir ke Mahkamah Sesyen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan didakwa esok di Mahkamah Sesyen di sini.

Perkara itu disahkan Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ismail Sabri ketika dihubungi hari ini. Pendakwaan terhadap Ahli Parlimen Bera berkenaan akan dibuat di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Difahamkan kes terhadapnya berhubung pengisytiharan harta. Bagaimanapun, setakat ini butiran pertuduhan yang akan dikenakan terhadapnya belum diketahui.

Terdahulu pada 7 Ogos lalu, pendakwaan terhadap Ismail Sabri yang sepatutnya berlangsung pada tarikh itu ditangguhkan ke 27 Ogos iaitu esok.

Hakim Suzana menetapkan tarikh itu selepas Amer Hamzah yang mewakili Ismail Sabri memohon penangguhan berikutan anak guamnya berada di Institut Jantung Negara (IJN) kerana masalah kesihatan.

“Mahkamah benarkan prosiding ini untuk pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan OKT (Orang Kena Tuduh) ditangguhkan ke 27 Ogos,,” kata Hakim Suzana.

Sebelum ini, Ismail Sabri telah dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai pengisytiharan harta yang dibuat oleh beliau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta, berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap beliau.

Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan “rumah selamat” hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN