PASIR MAS – Seorang pekerja hotel dihukum penjara lima tahun dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan yang juga anak tunangnya di sebuah hotel di Tanah Merah bulan lalu.
Tertuduh yang berusia 34 tahun dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dihadapinya di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 16 tahun 10 bulan ketika kejadian di sebuah hotel di Tanah Merah dekat sini pada pukul 3 dan 11 pagi, 24 Julai lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyha Nai’lah Harizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Siti Aisyha Nai’lah memohon hukuman setimpal kerana tertuduh mendapat kepercayaan daripada penjaganya untuk membawa dan menguruskan hal ehwal persekolahan mangsa.
Katanya, tertuduh bagaimanapun mengambil kesempatan dengan menempatkan mangsa di sebuah hotel sebelum melakukan perkara terkutuk tersebut.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan. Kedua-dua hukuman itu diarahkan berjalan secara serentak.
Hakim turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan dan pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat hukuman penjara.
Mengikut fakta kes, tertuduh mengambil mangsa di rumah bapanya di Kuala Krai dengan alasan untuk menguruskan perpindahan sekolah remaja itu di Besut, Terengganu.
Mangsa bagaimanapun dibawa ke sebuah hotel di Tanah Merah yang merupakan tempat tertuduh bekerja sebelum remaja itu dicabul ketika tidur.
Tertuduh mengatakan kepada mangsa ‘Adik comel, papa sayang adik, adik kecil macam baby’ sebelum melakukan amang seksual terhadap remaja itu. – KOSMO! ONLINE
















