PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah menyerahkan Digital Maker Hub kepada Pondok Darul Furqan, Tambun, Perak bagi memperluas akses pelajar dan guru institusi pendidikan Islam kepada kemahiran digital dan teknologi masa hadapan.
Penyerahan kemudahan ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Program Transformasi Digital Institusi Pendidikan Islam (Digital IPI), satu inisiatif nasional yang diterajui bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Digital Maker Hub berfungsi sebagai ruang pembelajaran interaktif yang membolehkan guru dan pelajar mempelajari, mencuba dan mengaplikasi teknologi secara praktikal.
Dilengkapi dengan komputer riba, sambungan internet, papan pintar interaktif, kit robotik, kit mikropengawal serta pelbagai peralatan sokongan, kemudahan ini membuka peluang kepada mereka untuk mengembangkan kreativiti, membina keyakinan dan menguasai kemahiran masa hadapan yang relevan dengan keperluan dunia digital.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, MDEC komited memperkasa pembangunan bakat secara inklusif bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat memanfaatkan peluang yang diwujudkan melalui ekonomi digital.
“Melalui Digital IPI dan penyediaan Digital Maker Hub, MDEC mahu memastikan guru serta pelajar institusi pendidikan Islam turut diberi ruang untuk lebih celik teknologi dan mampu menjadi pencipta dan inovator yang menyumbang kepada ekonomi digital negara, selaras dengan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030,” ucapnya pada majlis penyerahan Digital Maker Hub kepada pihak pengurusan Pondok Darul Furqan.
Majlis turut dihadiri Timbalan Pengarah ICU Jabatan Perdana Menteri, Perak, Tuan Mazlan Zurin Zulkifli; Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Tuan Shamsul Bahrain Hashim serta Pengerusi Tahfiz Rendah Darul Furqan, Datuk Rozi Puteh Ismail.
Seramai 30 pelajar dan lima guru dari Pondok Darul Furqan telah menyertai Program MetaSkool Metaverse yang berlangsung selama dua hari.
Selain Pondok Darul Furqan, lima lagi institusi pendidikan Islam rintis tersenarai inisiatif ini dan akan diberi ruang Digital Maker Hub iaitu Maahad Tarbiah Islamiah, Kedah; Pusat Pengajian Pondok Kampung Telong, Kelantan; Institut Ahmad Ibni Idris, Negeri Sembilan; Ribath Al-Musthofa, Pahang; dan Maahad Ihya Ulumiddin, Pulau Pinang.














