PULAU PERHENTIAN – Inisiatif Agrobank untuk memperkukuh literasi kewangan dan menggalakkan penggunaan pembayaran digital dalam kalangan komuniti serta usahawan mikro akan diperluaskan ke Kuala Perlis menjelang suku ketiga tahun ini.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, ia susulan kejayaan program anjuran bank yang diadakan di Kelantan dan Terengganu.
Tahun lalu, Agrobank berjaya mengubah Pulau Sri Tanjung, Kelantan menjadi Wilayah Agrobank pertama yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan komuniti, perusahaan kecil, sederhana dan mikro (PMKS) serta menggalakkan pembayaran tanpa tunai, khususnya kod QR Agrobank.
Kini, Agrobank membawa pendekatan sama di pulau pelancongan ini sebagai Wilayah Agrobank Pulau Perhentian, bertujuan memperkukuh akses kewangan, keterangkuman digital dan libat urus bersama masyarakat setempat.
“Lebih 60 usahawan mikro di pulau ini terlibat dalam program ini, yang mana mereka telah menggunakan pembayaran digital sepenuhnya sekali gus memudahkan urusan transaksi pembayaran oleh para pengunjung termasuk pelancong asing.
“Kami akan memantau perkembangan mereka selama tiga bulan melalui bimbingan pengurusan kewangan, pemasaran digital serta menggunakan platform pembayaran tanpa tunai,” katanya selepas majlis pelancaran Karnival eCelik Wang Financial Education Network (FEN) di sini, baru-baru ini.
Karnival itu turut mendapat sokongan ahli FEN antaranya Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Sebagai program perintis di bawah FEN, ia memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan komuniti pulau dan usahawan mikro dalam mengadaptasi ekosistem pembayaran digital secara selamat, berhemah dan inklusif.
Mengulas mengenai pemilihan Pulau Perhentian, Tengku Ahmad Badli Shah menjelaskan, ketika perkhidmatan kewangan digital semakin meluas, tahap penerimaannya masih boleh diperkukuh dalam kalangan komuniti tertentu, khususnya di kawasan pulau.
“Bagi usahawan dan komuniti di sini, masih terdapat ruang untuk meningkatkan penggunaan kod QR, perbankan digital dan penyelesaian kewangan lain dalam operasi perniagaan serta kegunaan harian.
“Sehubungan itu, Agrobank turun padang untuk memberi pendedahan dan bimbingan secara langsung kepada komuniti setempat mengenai manfaat pembayaran digital, keselamatan transaksi serta perkhidmatan kewangan yang dapat membantu mereka mengurus kewangan dan perniagaan dengan lebih cekap,” ujarnya.














