LONDON – ‘Lagi seorang’ keluh Claire Walker semalam ketika Andy Burnham dipilih Perdana Menteri Britain yang ketujuh sejak awal tahun 2016, dengan ramai pengundi menyuarakan rasa kecewa selepas bertahun-tahun negara dilanda kemelut politik.
Burnham diminta membentuk kerajaan oleh Raja Charles III selepas Keir Starmer meletak jawatan, hanya bertahan dua tahun walaupun beliau memberikan Parti Buruh kemenangan besar dalam pilihan raya umum 2024.
Walker, 65, berkata, dia masih belum ‘mendapat gambaran’ tentang Burnham yang merupakan Bekas Datuk bandar Greater Manchester sebelum dilantik secara mengejut ke jawatan tertinggi itu oleh Parti Buruh.
“Saya belum mendengar apa-apa yang konkrit tentang bagaimana beliau akan memulihkan ekonomi (Britain),” kata Walker dengan nada kecewa.
“Saya menanti dengan penuh debaran.
“Jika retorik beliau setara dengan personaliti dinamik yang ditunjukkan dan beliau benar-benar mengotakan apa yang dikatakannya, dua hingga tiga tahun akan datang akan menjanjikan yang lebih baik,” tambahnya.
Di tengah London pula, seorang jurulatih sukan dikenali sebagai Jamie B. sedang membaca akhbar memaparkan tajuk utama mengenai pelantikan Burnham.
“Saya sedang membaca berita bola sepak,” kata Jamie, 65, secara berseloroh sambil menambah, dia tidak begitu berminat tentang politik.
“Namun, saya sudah muak kerana kita (rakyat Britain) mempunyai seorang lagi perdana menteri, yang ketujuh dalam tempoh 10 tahun.”
“Beliau agak condong ke kiri, bukan?” kata Jamie sambil menambah, dia akan ‘mengalu-alukan kecenderungan ke kiri’ daripada Starmer.
Di Manchester, pelajar bernama Joel McCulloch bagaimanapun lebih ‘optimis secara’ .
“Saya sangat menyanjungi Andy Burnham kerana apa yang telah dilakukannya dengan Manchester. Saya fikir hebat,” kata McCulloch, 22. – AFP














