KEMAMPUAN melakukan analisis menjadi rahsia kejayaan pelumba Moto3 negara, Muhammad Hakim Danish Ramli ketika dia mencatat kemenangan sulung dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada Grand Prix (GP) Republik Czech di Litar Brno kelmarin.
Walaupun bermula di petak ke-14 selepas dikenakan penalti 12 kedudukan grid, namun pelumba berusia 19 tahun itu mempamerkan bekerja keras sepanjang perlumbaan untuk berada dalam kelompok hadapan.
Danish berkata, selepas memulakan perlumbaan dengan baik, dia hanya cuba untuk mengekalkan kedudukan dalam kelompok hadapan selain melakukan analisis di mana kawasan sesuai bagi memintas pelumba lain.
“Perlumbaan tadi (kelmarin) memang cukup mencabar dan saya melakukan permulaan yang baik selain bekerja keras bagi mengejar kelompok di hadapan. Sedikit demi sedikit saya berjaya memintas beberapa pelumba di hadapan.
“Selepas itu, saya hanya cuba untuk kekal bersama kelompok hadapan sambil mengenal pasti bahagian mana yang boleh digunakan bagi memintas pelumba lain selain aspek apa perlu diperbaiki,” katanya menerusi satu kenyataan.
Sebagai rekod, pelumba pasukan MT Helmets-MSI itu berjaya menamatkan penantian satu dekad memandangkan kali terakhir pelumba Malaysia memenangi perlumbaan Moto3 adalah menerusi Khairul Idham Pawi pada 2016.
Mengiringi pelumba berasal dari Kuala Terengganu itu di podium adalah Brian Uriate dari pasukan Red Bull KTM Ajo selaku pemenang tempat kedua diikuti pelumba CFMOTO Gaviota Aspar, Maximo Quiles.
Sementara itu, Danish turut mengakui, dia terpaksa mengerah jentera ke tahap maksimum selain kesilapan dilakukan Uriarte dan Quiles pada pusingan terakhir membuka ruang kepadanya untuk memimpin serta memenangi perlumbaan.
“Pada pusingan terakhir, saya memberikan segala-galanya dan menolak jentera ke tahap maksimum. Ketika itu, dua pelumba di hadapan melakukan kesilapan dan terkeluar dari garisan pelumbaan, jadi saya ambil peluang untuk memintas mereka,” ujarnya.














