PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan nombor pendaftaran istimewa (NPI) ’V 1 MY’ hingga ’V 9999 MY’ sempena kempen Tahun Melawat Malaysia (VM 2026).
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, siri NPI khas ini berpotensi menarik minat orang ramai yang menghargai nombor bernilai tinggi serta menggalakkan seluruh rakyat Malaysia menyokong industri pelancongan negara melalui pembelian NPI.
“Saya ingin mengambil peluang ini mengucapkan terima kasih kepada JPJ terutamanya Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook atas sokongan kepada MOTAC dalam menjayakan VM2026.
“Pada masa yang sama membantu kita mencari lebih banyak peruntukan untuk promosi VM2026 bagi menarik lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Teks ucapan King Sing dibacakan Timbalan Menteri Motac, Chiew Choon Man pada Majlis Pelancaran NPI Visit Malaysia 2026, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Motac dan Tourism Malaysia juga akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan negeri, syarikat penerbangan, pengusaha pelancongan, pemain industri hospitaliti, serta usahawan dan komuniti kreatif tempatan untuk memastikan setiap pelawat menerima pengalaman terbaik di Malaysia.
Sementara itu, JPJ memaklumkan, tempoh bidaan NPI berkenaan dibuka bermula 13 hingga 17 Jun ini dengan harga bidaan minima RM300 dan maksimum sehingga RM20,000. – KOSMO! ONLINE














