fbpx
Dua pemandu yang ditahan selepas didapati positif dadah dalam operasi bersepadu di Plaza Tol Gombak, hari ini. Foto IHSAN JPJWPKL

JPJ keluar 75 notis, dua pemandu ditahan positif dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GOMBAK – Dua pemandu kenderaan perdagangan ditahan selepas didapati positif dadah dalam Operasi Bersepadu Dadah yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) di Plaza Tol Gombak, di sini hari ini.

Operasi itu dilaksanakan bersama bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata, kedua-dua individu itu dikesan positif menerusi ujian saringan air kencing.

Menurutnya, mereka yang ditahan merupakan pemandu lori timber jinker berusia 31 tahun dan pemandu kereta sewa dan pandu berusia 41 tahun.

“Seramai 74 pemandu menjalani ujian saringan air kencing dan daripada jumlah itu, dua individu didapati positif dadah.

“Kedua-duanya telah ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 bagi tujuan ujian dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamidi berkata, sekiranya kedua-dua individu berkenaan disahkan sebagai penagih dadah melalui proses perundangan, JPJ akan mengambil tindakan menggantung lesen memandu mengikut Seksyen 36 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada masa katanya, sebanyak 228 kenderaan perdagangan telah diperiksa dengan 43 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan peraturan-peraturan berkaitan.

“Sebanyak 75 notis dikeluarkan, manakala sebuah bas henti-henti disita untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Sementara itu, MOTAC turut mengesan satu kes membabitkan kegagalan menggunakan khidmat pemandu pelancong.

Katanya, kes disiasat di bawah Peraturan 6(1)(i)(iii) dibaca bersama Peraturan 6(2) Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan) 1992.

Beliau menambah, JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemandu yang didapati positif dadah kerana penyalahgunaan bahan terlarang dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN