KUALA PERLIS – Taktik menggunakan pondok tersembunyi di kawasan hutan paya bakau berhampiran muara Sungai Kuala Sanglang, dekat sini sebagai lokasi memproses air ketum terbongkar selepas diserbu Maritim Malaysia (APMM), kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira pukul 6 petang itu, anggota operasi menemukan pondok kecil berbumbungkan kanvas serta pelbagai peralatan yang digunakan untuk memasak dan memproses air ketum.
Pengarah Maritim Zon Kuala Perlis, Komander Maritim Nak Rong Si Prom berkata, lokasi itu digempur hasil maklumat risikan dan pemantauan berterusan oleh Unit Risik Ibu Pejabat Maritim Zon (IPMZ) Kuala Perlis dan Kuala Kedah serta Unit Risik Ibu Pejabat Maritim Negeri Langkawi.
Katanya, susulan maklumat yang diperoleh, bot ronda APMM yang melaksanakan Op Aman dan Op Tiris 4.0 di sekitar perairan Perlis dan Kedah digerakkan ke lokasi untuk tujuan pemeriksaan.
“Beberapa peralatan memasak dan bekas polistirena dipercayai digunakan untuk memproses dan menyimpan air ketum selain 180 bungkusan minuman ditemukan.
“Kesemua barangan itu dirampas untuk tindakan lanjut. Nilai rampasan dianggarkan melebihi RM1,000,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati lokasi itu ditinggalkan suspek selepas menyedari kehadiran penguat kuasa. Air ketum yang diproses itu dipercayai untuk pasaran tempatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 iaitu kesalahan berkaitan penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan aktiviti lain yang berkaitan. – KOSMO! ONLINE














