fbpx
Kamal (kanan) menyoal siasat lapan PATI yang ditahan di Ibu Pejabat APMM, Tok Bali dekat Pasir Puteh hari ini. FOTO TOREK SULONG

PATI warga Myanmar bayar RM6,000 untuk bekerja di KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR PUTEH – Hasrat lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk tiga wanita untuk bekerja di ibu negara berkecai selepas mereka dicekup Maritim Malaysia (APMM) sebaik sahaja mendarat dengan menaiki bot di tebing Sungai Kampung Pasir Pekan Hilir, Tumpat dekat sini pada Rabu lalu.

Kesemua PATI yang berusia dalam lingkungan 18 hingga 51 tahun itu ditahan ketika sedang bersembunyi di kawasan semak di tebing sungai berkenaan.

Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, anggota APMM yang menjalankan rondaan menerusi Op Naga, Op Damai, Op Pelantar Merah dan Op Tiris mengesan pergerakan sebuah bot dari perairan Kuala Besar menuju ke Kota Bharu kira-kira pukul 11.47 malam.

Katanya, bot dan tekong dikatakan sempat meloloskan diri dengan meredah air sungai yang cetek sehingga menyukarkan pergerakan bot peronda APMM.

“Operasi pencarian diteruskan sebelum anggota APMM mendapati bot itu merapat ke tebing Sungai Kampung Pasir Pekan Hilir, Tumpat dipercayai telah menurunkan PATI kira-kira pukul 12.20 tengah malam.

“Pemeriksaan di kawasan itu membawa kepada lapan orang PATI sedang bersembunyi di dalam semak. Kesemua individu terbabit gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai memasuki negara ini secara haram,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat APMM, Tok Bali di sini hari ini.

Kamal memberitahu, siasatan lanjut mendapati, kesemua PATI dipercayai membayar sebanyak RM6,000 setiap orang kepada sindiket untuk membawa mereka masuk secara haram ke negara ini melalui jalan laut.

Menurutnya, mereka juga dijanjikan untuk bekerja dalam sektor perkilangan dan kedai makan di Kuala Lumpur.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN