PETALING JAYA – Ibu bapa diingatkan supaya segera membuat laporan polis dan tidak menarik balik laporan tersebut sekiranya anak perempuan di bawah umur didapati hamil walaupun hubungan ‘suka sama suka’.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, tindakan awal perlu diambil bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan masa depan remaja terbabit terus terpelihara.
Menurutnya, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah membawa remaja itu ke pusat kesihatan atau klinik desa berhampiran untuk membuka buku rekod kehamilan agar pemantauan kesihatan dapat dilakukan segera.
“Fokus kepada kandungan dan kesihatan anak gadis terlebih dahulu. Lebih muda usia anak-anak ini, lebih kritikal kandungan dan kesihatan mereka. Semua sistem perkhidmatan kesihatan kerajaan bersedia dan mempunyai kepakaran ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau yang pernah mengendalikan rumah perlindungan gadis hamil luar nikah berkata, ramai ibu bapa berasa malu, marah dan kecewa apabila berdepan situasi itu, namun mereka perlu bersabar dan segera mendapatkan bantuan daripada institusi perlindungan.
Katanya, laporan polis juga perlu dibuat terutama melibatkan mangsa bawah umur kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai unit khas yang mengendalikan kes berkaitan kanak-kanak dan wanita.
“Ketika saya dan rakan-rakan mengusahakan rumah perlindungan gadis hamil luar nikah, Bayt Al- Rahmah, tiada lain niatnya melainkan mahu membantu, mendidik dan menyokong gadis-gadis yang terlanjur ke arah kebaikan dan memastikan pendidikan mereka diteruskan.
“Kerajaan juga menyediakan sokongan perlindungan sama. Boleh rujuk JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) untuk mendapatkan perlindungan di bawah institusi kerajaan.
“Jika anak bawah umur, tidak kiralah suka sama suka atau tidak, laporan polis mesti dibuat. Jangan tarik balik. PDRM mempunyai Bahagian D11 yang akan fokus kepada kes-kes sebegini,” tegasnya.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan mendapatkan khidmat kaunselor bagi membantu memahami situasi sebenar yang dihadapi remaja berkenaan sebelum tindakan lanjut dapat diambil.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, tempoh selepas bersalin atau ‘postpartum’ merupakan fasa kritikal yang memerlukan perhatian rapi bagi mengelak kemurungan selepas bersalin selain memastikan penjagaan bayi dilakukan dengan baik.
Menurutnya, aspek pendidikan juga tidak boleh diabaikan dan remaja yang terlibat perlu kembali menyambung persekolahan selepas tamat tempoh berpantang.
“Bab ini saya sangat tegas. Tidak boleh ambil jalan mudah dalam hidup kerana pendidikan adalah kunci untuk keluar dari kitaran keganasan dan kembali menjadi insan.
“KPM (Kementerian Pendidikan) biasanya akan membantu anak-anak ini kembali ke sekolah dan memastikan mereka mengambil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tanpa keciciran pendidikan,” katanya.
Beliau turut menggesa masyarakat supaya mengutamakan pendekatan pencegahan dan sokongan dalam menangani isu kehamilan luar nikah berbanding menghukum atau mencerca golongan terbabit.
“Nyawa ibu dan anak jauh lebih penting daripada semua kutukan itu. Di luar sana, ramai anak gadis yang sedang takut dan bimbang tentang kehamilan luar nikah mereka. Kita ambil sikap preventive (mencegah) dan supportive (mendukung) ketika mencari solusi kepada masalah sosial ini.
“Kita boleh menyelamatkan nyawa ibu dan anak-anak ini jika mengambil langkah awal, percaya kepada sistem (bukan percaya dengan mulut jahat orang) dan membina jaringan sistem sokongan dalam masyarakat yang kuat,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE














