PETALING JAYA – “AGAK keterlaluan kaitkan anak saya, bercakap tentang budak kecil yang tak tahu apa-apa.”
Demikian perkongsian pelakon dan penyanyi, Bella Astillah yang terkesan apabila ada pihak tidak bertanggungjawab sanggup menghentam anaknya, Ara Adreanna yang masih kecil.
Dalam keadaan sebak, pemilik nama lengkap Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, memohon sedikit waktu untuk mengambil sebarang tindakan bagi melindungi keluarganya.
“Sudah semestinya sebagai ibu saya terasa. Beri saya sedikit masa.
“Banyak lagi perkara saya kena susun betul-betul. Tak nak bertindak melulu,” katanya sambil menyeka air mata dalam sebuah siaran langsung.
Meskipun kerap menerima kecaman, pelakon drama Cinta Belum Tamat Tempoh itu menyerahkan segalanya kepada ketentuan Allah.
“Selepas itu dengan bangganya memberitahu dia akaun palsu. Saya okey saja sebab tahu Allah Maha Baik.
“Bunyi macam klise, tapi itu hakikatnya. Daripada dulu saya percaya benda itu dan saya lalui sebenarnya sangat berat.
“Allah Maha Baik, mesti ada sebab dan hikmah kenapa jadi macam ini,” luahnya.
Dalam masa sama, Bella bersyukur kerana masih dikelilingi peminat yang sentiasa memberikan sokongan positif dan mendoakan kesejahteraannya.
“Minta jasa semua doa sama-sama, insya-Allah. Apa sahaja perkara jahat atau benda tak baik, kita lawan dengan doa.
“Saya percaya enam ribu yang tengah tengok orang yang baik-baik. Saya fikir kalau 90 peratus, mungkin 10 peratus akaun palsu.
“Jadi, tak perlu fokus sebab saya ada 90 peratus yang doa,” ujarnya.
Ibu kepada dua cahaya mata ini turut meluahkan rasa hairan dengan mentaliti sesetengah individu yang sanggup meluangkan masa semata-mata mahu menjatuhkan dan memalukan orang lain demi kepuasan peribadi.
“Saya hidup menjadi seorang manusia, anak dan ibu. Bila kita tengok orang bahagia ‘Ya Allah, gembiranya untuk dia’.
“Saya nak jadi manusia begitu. Bukan buka mata, buka akaun palsu cakap ‘Apa lagi nak muat naik untuk memalukan orang’.
“Saya rasa macam hinanya menjadi manusia hanya hidup dengan niat yang sebegitu rupa.
“Itulah titik paling rendah sebagai seorang manusia. Tak habis-habis nak cakap fasal benda yang dah lepas,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, kecoh dalam media sosial apabila seorang individu bertindak melampau dengan melabel anak kedua Bella, Ara Adreanna, sebagai kanak-kanak kurang upaya atau cacat.
Tuduhan tidak berasas tersebut tercetus selepas sering melihat Ara kerap didukung Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, serta kenalan rapat keluarga mereka dalam beberapa hantaran sebelum ini. – KOSMO! ONLINE














