fbpx

‘Tak buat muka, hanya tanam jambang untuk lebih kemas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Penampilan kelihatan lebih kemas dan maskulin, pelakon Haidar Hasanudin mengakui hanya menjalani prosedur kosmetik tanam jambang (beard transplant) demi memastikan imejnya sesuai dengan tuntutan kerjaya lakonan.

Ujar Haidar, 37, keputusan tersebut bukan dibuat semata-mata untuk mengubah wajah, sebaliknya juga bagi menyeimbangkan pertumbuhan jambang yang sebelum ini hanya tumbuh pada sebelah bahagian wajah.

“Terus terang, memang saya buat prosedur tanam jambang. Sebelum ini jambang saya hanya tumbuh di sebelah kanan. Kalau dibiarkan, memang nampak tidak seimbang.

“Sebab itu saya pilih untuk seimbangkan pertumbuhan pada kedua-dua belah. Lagipun ada watak tertentu memerlukan penampilan sebegitu, jadi saya anggap ini juga sebahagian daripada pelaburan untuk kerjaya.

“Bukanlah hendak tampil dengan imej baharu kerana sebelum ini memang sudah ada jambang. Cuma selepas prosedur itu, pertumbuhannya lebih kemas dan cantik,” katanya kepada Kosmo! Online.

Mengulas lanjut, pelakon filem Libang Libu itu berpandangan, penjagaan diri bukan hanya penting buat golongan selebriti, malah perlu menjadi amalan setiap individu.

“Bagi saya, penjagaan diri bukan hanya untuk pelakon. Semua orang patut menjaga penampilan.

“Saya memang sudah lama belajar tentang penjagaan kulit. Lelaki pun perlu pakai pelembap, pelindung matahari dan menjaga kesihatan kulit. Apabila bekerja dalam industri, kita memakai mekap setiap hari, jadi kalau tidak dijaga, kulit mudah terjejas.

“Saya juga akan ke spa sebulan sekali, biasanya selepas selesai sesuatu projek. Tujuannya sekadar membersihkan liang pori dan menghilangkan kesan solekan. Penjagaan saya sangat asas, tidak ada yang berlebihan,” ujarnya pada tayangan perdana What’s Next on Viu – Viu Original di sini, kelmarin.

Ditanya mengenai trend segelintir artis yang berlumba-lumba melakukan pelbagai prosedur kosmetik demi meningkatkan keyakinan diri, Haidar enggan menghakimi pilihan orang lain.

“Bagi saya, itu pilihan masing-masing. Saya tidak boleh mengulas tentang individu yang mahu membentuk hidung, wajah atau melakukan prosedur lain kerana mungkin itu memberi keyakinan kepada mereka.

“Cuma saya bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan kepada saya. Bagi diri saya, apa yang ada sekarang sudah lebih daripada mencukupi.

“Jadi saya tidak rasa perlu melakukan perubahan lain. Itu pendirian saya, bukan bermaksud saya mahu mengkritik pilihan orang lain,” tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Haidar membintangi drama romantik 12 episod Cinta Dalam Sekam yang mula distrim secara eksklusif menerusi platform Viu bermula 16 Julai lalu.

Arahan Feroz Kader, naskhah tersebut turut dibintangi Siti Khadijah Halim, Amir Ahnaf, Riz Amin dan Husna Mustaffa yang mengangkat kisah penuh emosi mengenai seorang warga emas menghidap demensia sehingga membawa kepada pembongkaran rahsia cinta tiga segi dari masa silam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN