fbpx

‘Keadaan agak parah, Thalita, boleh pinjam duit sikit?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelawak Shuib terharu dengan sikap matang anaknya, Thalita yang tidak berkira selain sedia membantu keluarga terutama dari segi kewangan.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, 41, berkata, anak keduanya yang masih remaja itu tidak membantah mahupun mempersoalkan jika sejumlah duit daripada hasil persembahan dijayakannya digunakan untuk membayar urusan berkaitan isi rumah.

“Kadang-kadang saya cakap kepada Thalita, ‘keadaan agak parah, boleh pakai duit ini sikit?’. Dia terus kata pakailah, tak apa.

“Dia pula rasa saya sudah beri bayaran yang banyak kepadanya, sedangkan dia tahu bayaran sebenar lebih daripada itu.

“Dia fikir kalau saya beri banyak kepadanya, apa pula yang tinggal untuk saya selesaikan macam-macam perkara,” katanya dalam sesi audio siar Too Pretty To Handle, baru-baru ini.

Pada sesi sama, ahli perniagaan itu mengakui tidak pernah berselindung mengenai keadaan kewangan keluarga daripada pengetahuan semua anak-anaknya.

“Saya beritahu keadaan ekonomi macam mana, apa yang saya sedang hadapi dan mereka perlu faham.

“Alhamdulillah, mereka semua mudah memahami,” ujar bapa kepada lima cahaya mata itu.

Sementara itu, isterinya, Watie Hanifiah berkata, dia juga mendedahkan turut mengingatkan anak-anak agar sama-sama membantu bapa mereka ketika dalam kesulitan.

“Sekarang daddy (panggilan bapa) tengah susah, kita kena sama-sama bantu daddy. Bila berniaga sambal pun saya cakap kita kena tolong daddy.

“Sebab daddy ada banyak hutang dan perlu selesaikan banyak perkara,” kongsinya.

Menurut Shuib lagi, sebenarnya di sudut hatinya terselit perasaan terkilan apabila tidak dapat bersama keluarga berniaga di Singapura berikutan komitmen lain.

“Saya sedih sebab mereka berniaga di Singapura, tapi saya tiada. Duduk di rumah empat hingga lima hari, saya rasa macam ‘loser’ sangat,” katanya.

Terdahulu, Shuib mendedahkan masih dalam usaha melangsaikan hutang berjumlah RM15 juta yang sudah dijelaskan separuh daripadanya sejak lima tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN