KANGAR – Industri pelancongan Thailand turut terkesan dengan situasi ekonomi global termasuk krisis di Asia Barat dan kenaikan harga bahan bakar dunia yang menyebabkan berlaku sedikit penurunan jumlah pelancong berbanding sebelum ini.
Presiden Persatuan Pelancongan dan Perdagangan Halal Thailand-ASEAN, Aida Oujeh berkata, bagaimanapun, Thailand terus berusaha memperkukuhkan sektor pelancongan negara itu dengan memperkenalkan pelbagai produk baharu dan tarikan tambahan khususnya di wilayah selatan negara berkenaan.
“Harga minyak kini mula turun. Diesel antara 35 (RM4.26) hingga 42 baht (RM 5.11) seliter, manakala petrol sekitar 37 (RM4.50) hingga 44 baht (RM5.35) seliter. Memang lebih murah daripada Malaysia dan sebab itu ramai masih memilih bercuti ke sana,” katanya ketika dihubungi semalam.
Difahamkan, kira-kira 13,000 pelancong Malaysia dijangka berkunjung ke Songkhla dan Satun sepanjang cuti sekolah minggu ini dengan anggaran perbelanjaan melebihi RM6.5 juta.
Anggaran itu dibuat berdasarkan jumlah keseluruhan kira-kira 20,000 pelancong dari Malaysia dan Indonesia yang dijangka memasuki kawasan berkenaan sepanjang tempoh cuti sekolah.
Seorang peniaga di pusat bandar Hatyai, Sammi, 28, berkata, perniagaan air kelapanya mencatatkan penurunan jualan sejak konflik Asia Barat meletus.
“Kebanyakan pelanggan saya adalah pelancong dari Malaysia kerana Hatyai adalah kawasan tumpuan utama pelancong dari negara jiran itu.
“Namun krisis bekalan tenaga dan kenaikan harga minyak global memberi kesan kepada pelancongan di sini dan boleh dikatakan jualan kami menurun antara 60 hingga 70 peratus,” katanya.
Katanya, keadaan kini beransur pulih selepas harga minyak di negara itu berjaya distabilkan kerajaan Thailand.














