fbpx
Dianjurkan di Sarawak buat kali pertama, AIM25 menyaksikan kerusi juri diketuai oleh komposer berpengalaman, Ajai (kanan sekali). - FARIZWAN HASBULLAH

Lagu Borneo, Lagu Perayaan Terbaik warna baharu AIM25

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENYEDARI kepelbagaian warna muzik tanah air semakin berkembang, Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-25 melakar sejarah baharu apabila membuka pentas lebih luas kepada karya dari Sabah dan Sarawak menerusi pengenalan kategori Lagu Borneo Terbaik, sekali gus mengangkat suara, bahasa serta budaya Bumi Kenyalang dan Negeri Di Bawah Bayu ke persada lebih tinggi.

Sempena sambutan Jubli Perak, anugerah muzik paling berprestij negara itu terus berevolusi mengikut landskap industri semasa.

Selain mengiktiraf kecemerlangan seni sejak diperkenalkan pada 1993, AIM25 tampil lebih inklusif dengan memperkenalkan dua kategori baharu, iaitu Lagu Borneo Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik, sebagai cerminan kekayaan identiti budaya Malaysia serta kepelbagaian ekspresi muzik tempatan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM25, Rosmin Hashim, pengenalan kategori Lagu Borneo Terbaik bukan didorong syarat penaja, sebaliknya lahir daripada komitmen AIM untuk memberi ruang lebih besar kepada karya berkualiti dari Sabah dan Sarawak.

“Kategori ini diwujudkan bagi membuka lebih banyak peluang kepada penulis lagu dan penyanyi dari Sabah serta Sarawak dalam pelbagai genre, termasuk lagu menggunakan bahasa dan dialek Borneo.

“Kita tahu kedua-dua negeri ini mempunyai begitu banyak karya berkualiti, sama ada muzik pop, etnik atau genre lain. Namun sebelum ini, peluang untuk karya sebegitu menyerlah di pentas AIM agak terhad.

“Jadi, sudah tiba masanya suara dan identiti muzik Borneo diberikan pentas lebih besar sebagai sebahagian daripada landskap muzik Malaysia,” katanya kepada HibGlam.

Kendatipun begitu, Rosmin menjelaskan setiap karya hanya boleh dicalonkan dalam satu kategori sahaja walaupun berasal dari Sabah atau Sarawak.

“Mereka perlu membuat pilihan. Sekiranya berasakan lagu lebih sesuai bertanding dalam kategori Lagu Etnik Terbaik, mereka boleh memilih kategori tersebut.

“Tidak boleh menghantar karya sama ke dua kategori. Ada juga penyanyi hip hop yang kadangkala keliru menentukan kategori paling sesuai, jadi keputusan itu bergantung kepada mereka sendiri,” ujarnya.

Ditanya mengenai kontroversi kategori Lagu Paling Tinggi Distrim pada AIM24 melibatkan lagu Old Love nyanyian Yuji dan Putri Dahlia serta kemenangan lagu Masing-Masing dendangan Ernie Zakri bersama Ade Govinda, Rosmin memberi jaminan isu sama tidak akan berulang.

“Bagi kategori Lagu Paling Tinggi Distrim, data diperoleh daripada pihak ketiga berdasarkan jumlah penstriman tertinggi sepanjang tempoh kelayakan. Sistem akan mengenal pasti sama ada lagu diterbitkan di Malaysia menerusi kod ISRC yang mempunyai awalan ‘MY’.

“Jika kod tersebut tiada, sistem tidak dapat mengesan karya berkenaan sebagai lagu Malaysia dan perkara itulah menyebabkan beberapa lagu tercicir daripada senarai sebelum ini.

“Bermula tahun hadapan, penggiat muzik perlu menjadi ahli RIM terlebih dahulu bagi mendapatkan awalan ‘MY’ sebagai pengesahan karya diterbitkan di Malaysia tapi syarat itu belum dikuatkuasakan untuk AIM25 kerana pencalonan kali ini masih menggunakan sistem Carta RIM sedia ada,” ungkapnya.

Meraikan ulang tahun ke-25, AIM turut mencipta satu lagi sejarah apabila buat julung kalinya dipentaskan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak pada 26 September depan, sekali gus mengangkat negeri itu sebagai destinasi penting penganjuran acara seni bertaraf nasional.

Penganjuran tersebut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi menerusi Geran Digital Content Fund (DKK) melalui MyCreative Ventures, selain Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Sarawak (MTCP) serta TV Sarawak (TVS) selaku penyiar rasmi dan rakan kongsi penganjur.

Bagi memperkukuh pembangunan industri muzik tempatan, Kementerian Komunikasi meningkatkan peruntukan Dana Kandungan Kreatif kepada RM950,000, berbanding RM700,000 tahun lalu.

Menerusi dana tersebut, pemenang 15 kategori bakal menerima geran RM50,000 setiap seorang, manakala pemenang Album Terbaik membawa pulang geran bernilai RM200,000.

Turut menzahirkan komitmen sama, MTCP Sarawak memperuntukkan geran RM1 juta bagi menyokong AIM25 sebagai usaha memperkasa industri kreatif selain menjadikan Sarawak hab acara seni dan budaya berskala besar.

Pencalonan AIM25 dibuka kepada karya diterbitkan antara 1 Januari hingga 31 Disember 2025, melibatkan lagu dan album dalam bahasa Melayu, Inggeris, Cina serta Tamil.

Proses pencalonan bermula semalam hingga 6 Ogos depan menerusi laman rasmi AIM. Sebanyak 25 kategori dipertandingkan pada edisi Jubli Perak kali ini termasuk Artis Baharu Terbaik, Vokal Lelaki Terbaik, Vokal Wanita Terbaik, Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik, Kumpulan Terbaik, Video Muzik Terbaik, Lagu Rock Terbaik, Lagu Pop Terbaik dan Lagu Rap/Hip Hop Terbaik.

Selain itu, Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik, Lagu Tempatan Bahasa Inggeris Terbaik, Lagu Tempatan Bahasa Cina Terbaik, Lagu Tempatan Bahasa India Terbaik, Lagu Melayu Terbaik Dipersembahkan Oleh Artis Antarabangsa, Kolaborasi Terbaik Oleh Artis Tempatan dan Antarabangsa turut dipertandingkan.

Dituruti Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Etnik Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Borneo Terbaik, Album Terbaik Tahun Ini, Lagu Terbaik Tahun Ini serta dua pengiktirafan berprestij, Anugerah Khas AIM25 dan Anugerah Sri Wirama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN