PETALING JAYA – Tindakan seorang individu menceroboh kawasan landasan di Stesen Jalan Meru menyebabkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT3) Laluan Shah Alam mengalami gangguan sementara kira-kira pukul 6.15 pagi tadi.
Rapid KL dalam kenyataan memaklumkan, suspek berjaya dikesan dan ditahan oleh petugas operasi bersama anggota Polis Bantuan sejurus kejadian tersebut dikenal pasti.
Menurut kenyataan itu, suspek kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia sebelum dibawa ke Balai Polis Bandar Baru Klang untuk tindakan lanjut.
“Rapid KL akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya hari ini.
Susulan kejadian itu, perkhidmatan tren antara Stesen Jalan Meru dan Stesen Jambatan Kota dihentikan sementara selama kira-kira 30 minit.
Langkah tersebut diambil bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dilakukan selain memastikan keadaan landasan selamat sebelum perkhidmatan kembali beroperasi.
Terdahulu, beberapa pengguna media sosial memaklumkan perjalanan tren mengalami kelewatan selepas dipercayai terdapat individu berada di kawasan landasan.
Malah, sebuah rakaman yang tular di aplikasi Threads turut memaparkan seorang lelaki dipercayai suspek berbaju warna hitam dibawa keluar dari sebuah tren selepas ditahan.
Seorang pengguna turut berseloroh mempersoalkan tindakannya berlari di atas landasan sedangkan perkhidmatan LRT boleh dinaiki secara percuma.
“Punca LRT tak boleh gerak dari tadi dah ditangkap, kau berlari atas trek kenapa. Boleh naik percuma,” tulis @justroseranting.
Sementara itu, Rapid KL dalam pada itu memohon maaf atas kesulitan yang dialami penumpang dan menegaskan keselamatan pengguna serta operasi perkhidmatan sentiasa menjadi keutamaan.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak menceroboh kawasan landasan kerana perbuatan tersebut bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mendatangkan risiko keselamatan yang serius.
Penumpang juga diminta sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling dan segera memaklumkan kepada petugas stesen atau anggota Polis Bantuan sekiranya mengesan sebarang perlakuan mencurigakan. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














