fbpx
ZAKI meracau selama tiga hari selepas terkena badi mayat rakannya, Leman yang terlibat dalam satu kemalangan ngeri. – Ilustrasi Shah Hasan

Dihantui badi mayat mat rempit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMALANGAN jalan raya akibat memandu secara melulu sering menghiasi laporan media massa saban hari.

Situasi kemalangan dan mangsa mengerikan sering tular dalam saluran media sosial, sekali gus memburukkan lagi isu yang cuba diatasi oleh kerajaan melalui polisi serta kempen keselamatan jalan raya.

Kisah Mitos yang ingin diceritakan minggu ini melibatkan kemalangan jalan raya yang berlaku kira-kira 30 tahun lalu di sebuah negeri di Utara Semenanjung.

Menurut seorang usahawan dan bekas kontraktor, Zaki Osman, 53, peristiwa seram yang dialaminya semasa menunggu keputusan Sijl Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) itu masih menghantui hidupnya, setiap kali mendengar atau membaca berita tentang kemalangan jalan raya.

“Kisahnya bermula pada suatu petang semasa saya dan kawan-kawan sedang bermain bola sepak. Padang tersebut terletak di tepi jalan besar.

“Sedang kami ralit bermain bola sepak, terdengar bunyi enjin motosikal kapcai dipandu laju di jalan besar itu.

“Motosikal tersebut dipandu oleh Leman yang merupakan kawan saya dari kampung berdekatan,” katanya.

Zaki berkata, Leman berumur awal 20-an memang suka merempit setiap petang dan malam dengan menaiki motosikal kapcai yang diubah suai bagi menambah kelajuan.

Katanya lagi, bukannya Leman tidak pernah jatuh ketika menunggang motosikal, cuma tiada istilah serik dalam diari hidupnya.

“Patah riuk itu perkara biasa pada Leman. Bila sudah sihat dia akan kembali kepada tabiat merempit macam pelesit. Namun petang itu segalanya berakhir buat Leman.

“Sedang kami sibuk bermain bola, tiba-tiba semua terdengar bunyi dentuman dua kenderaan bertembung di jalan besar,” katanya.

Dentuman yang mengejutkan itu menyebabkan semua pemain bola di padang bergegas ke lokasi melihat keadaan mangsa kemalangan terbabit.

Cerita Zaki, kemalangan jalan raya itu melibatkan Leman yang menaiki motosikal bertembung dengan sebuah kereta dipandu seorang remaja.

“Akibat ‘memotong tidak lepas’ Leman melambung di atas jalan tar dan tubuhnya dalam keadaan tersembam. Darah mengalir dari beberapa bahagian badannya,memang mengerikan.

“Tubuh kurus Leman sudah tidak berkutik, mungkin sudah menghembuskan nafas terakhir,” katanya.

“Saya antara yang memeriksa urat nadi Leman untuk memastikan sama ada dia masih bernyawa atau tidak. Tidak lama kemudian, polis sampai.

“Malam itu bermulalah episod malang dalam hidup saya selepas kemalangan tragis itu.

“Peristiwa yang mengubah sikap saya yang juga suka menunggang motosikal dengan laju,” ujarnya.

Selepas balik dari lokasi kemalangan tersebut, Zaki berkata, dia membersihkan badan dan darah yang terkena pakaian serta kasut bolanya.

Zaki memberitahu, badannya tiba-tiba menjadi panas seperti hendak demam, kepalanya berasa pening dan sakit

“Saya membaringkan badan dan berselubung, dan berharap selepas berpeluh demam akan segera kebah.

“Semasa tertidur, saya bermimpi arwah Leman datang menemui saya dalam keadaan muka berlumuran darah dan dalam keadaan terhincut-hincut dengan tulang kering tersembul keluar,” katanya.

Dalam mimpi itu, Leman seakan ingin memberitahu sesuatu tetapi dia tidak memahami perkataan sahabatnya tersebut.

Ujar Zaki, keadaan Leman yang mengerikan itu seperti imej makhluk zombi dalam filem seram.

“Bayangkan dalam keadaan berdarah dan patah, Leman bergerak ke arah saya yang berdiri di depan rumah.

“Setelah tangan kanannya hampir memegang saya, terus saya berundur ke belakang dan menjerit sekuat hati akibat ketakutan,” jelasnya.

Ujar Zaki, selepas membuka mata, barulah dia menyedari apa yang dilihat tadi adalah mimpi.

Sebaik sedar, Zaki memandang wajah ibu bapa dan jirannya yang berseri-seri melihat dia sedang terbaring di tilam .

“Emak saya kata, sudah tiga hari saya meracau dalam tidur macam orang kena sampuk. Masalahnya saya sudah terjaga, tapi badan masih panas.

“Keluarga saya mengambil keputusan memanggil bomoh yang dipanggil Tok Man. Bimbang sakit saya semakin melarat,” katanya.

Semasa menunggu kehadiran Tok Man, Zaki berkata, dia merasakan badannya terlalu lemah hingga sukar untuk bangun seperti ada makhluk yang menekan tubuhnya.

Ketika Tok Man sampai, orang tua berusia dalam lingkungan 70-an itu berkata, Zaki terkena badi mayat.

“Ibu saya bercerita kepada saya, Tok Man melakukan upacara perubatan secara tradisional dengan meminta semangkuk air dan sebotol air putih.

“Ketika itu, saya masih meracau menyebut beberapa perkataan yang tidak difahami.

“Tok Man kedengaran membaca surah-surah daripada kitab suci al-Quran.

“Hingga bersembur-sembur air liurnya,” katanya.

Selepas sesi rawatan itu, badan Zaki mula terasa ringan, walaupun sepanjang proses merawat tersebut tubuhnya terasa seperti dihenyak-henyak.

Ceritanya lagi, Tok Man memberitahu, badi mayat jika tidak dirawat segera akan mengundang mudarat melibatkan fizikal serta mental.

“Kemalangan berdarah tersebut melibatkan kehilangan nyawa di tempat kejadian.

“Tok Man berkata, jika tidak kuat semangat, maka terjadilah peristiwa terkena badi mayat tersebut.

“Lebih memburukkan keadaan, kata Tok Man, arwah adalah kawan saya. Rasa sedih kehilangan kawan boleh juga menyebabkan trauma kepada jiwa dan rasa sedih tidak terbendung,” ujarnya.

Sebelum beredar, Tok Man turut ‘memagar’ rumah keluarga Zaki dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran dan meninggalkan beberapa petua untuk diamalkan.

Zaki yang semakin pulih selepas tiga hari mendapat rawatan Tok Man berkata, sebenarnya, dia dan Leman sememangnya suka berlumba berdua pada malam minggu.

“Hobi berlumba tersebut bukan sahaja melibatkan saya dan Leman, malah kawan-kawan lain dari beberapa kampung sekitar,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN