KUANTAN – Sebanyak 210 sekolah kurang murid (SKM) di 11 daerah di negeri ini tidak pernah dipinggirkan apabila terus menerima kualiti pendidikan yang baik termasuk daripada segi pengajaran dan kemudahan sekolah.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri, Datuk Seri Mohd Soffi Abd. Razak berkata, daripada jumlah itu lebih 83 peratus SKM berada di luar bandar dan tujuh buah sekolah berstatus pedalaman khususnya di Jerantut dan Rompin.
“Isu SKM di Pahang berkait rapat dengan taburan penduduk, faktor geografi, akses jalan dan jarak perjalanan murid, bukan sekadar bilangan sekolah semata-mata.
“Pahang sebagai negeri terbesar di Semenanjung Malaysia berdepan dengan realiti ini yang mana sebahagian besar sekolah dibina bagi memenuhi keperluan pendidikan komuniti setempat yang berselerak di kawasan pedalaman, tanah rancangan, kampung serta perkampungan Orang Asli,”katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal ke-5 Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang bertanya berapakah jumlah sekolah kekurangan murid di Pahang dan apakah dasar serta pelan melibatkan mitigasi pengangkutan murid, pengekalan kualiti pengajaran dan langkah mengelak keciciran khususunya di luar bandar.
Menurut Mohd Soffi sehingga Februari tahun Lipis mempunyai SKM terbanyak iaitu 33 buah sekolah diikuti Temerloh sebanyak 28 buah sekolah, Raub (26 sekolah), Jerantut (25 sekolah), Maran (22 sekolah), Bera (17 Sekolah), Bentong (18 Sekolah), Pekan (15 sekolah), Cameron Highlands (14 sekolah), Kuantan (9 sekolah) dam Rompin (5 sekolah).-KOSMO! ONLINE














