PROGRAM PUBG Mobile School of Wonder telah berlangsung dengan jayanya di Clazroom College menerusi penggunaan bilik khas ‘Guild Hall’ di Neo Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Program tersebut dianjurkan bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai asas pembangunan permainan video melalui mod kreatif PUBG Mobile World of Wonder (WOW).
Ia merupakan kolaborasi antara Level Infinite PUBG Mobile dan Clazroom College dengan fokus untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai industri permainan video, pembangunan permainan, reka bentuk interaktif serta potensi kerjaya dalam ekosistem gaming dan e-sukan.
Menurut pengurus projek, Muhammad Arif Shahir Mohd. Asri, permainan video kini bukan lagi dilihat semata-mata sebagai hiburan tetapi turut mempunyai nilai pendidikan, kreativiti, teknologi dan kerjaya.
“Melalui program ini, pelajar didedahkan kepada proses di sebalik pembangunan permainan video seperti reka bentuk permainan, penghasilan idea, pemikiran kreatif, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan.
“PUBG Mobile WOW dipilih kerana mudah diakses, mesra pengguna dan dekat dengan generasi muda.
“Melalui mod ini, pelajar dapat mempelajari asas pembangunan permainan seperti mencipta peta, membina objektif permainan dan menyusun elemen interaktif secara lebih praktikal tanpa perlu menggunakan perisian teknikal yang kompleks,” katanya kepada K-Remaja.
Sepanjang program berlangsung, para pelajar berpeluang mengikuti sesi perkongsian daripada penggiat industri serta kelas asas pembangunan permainan menggunakan
PUBG Mobile WOW iaitu mod kreatif dalam PUBG Mobile yang membolehkan pemain mencipta peta, peraturan permainan dan pengalaman interaktif menggunakan alatan mesra pengguna.
Program ini turut memberi penekanan kepada kemahiran abad ke-21 seperti kreativiti, pemikiran kritis, komunikasi, kerjasama berpasukan dan penggunaan teknologi secara positif.
Peserta juga didedahkan kepada elemen seperti asas pembangunan permainan, reka bentuk peringkat, penciptaan pengalaman pemain, sesi playtesting, pertandingan penciptaan WOW serta peluang menerima sijil eksklusif daripada Tencent Games.
Tambah Muhammad Arif Shahir, berdasarkan pemerhatian semasa sesi berlangsung, pelajar bukan sahaja menunjukkan minat terhadap aspek permainan, malah turut bertanya tentang peluang kerjaya dalam bidang berkaitan.

“Sambutan terhadap kelas ini menunjukkan bahawa program ini berjaya membuka perspektif pelajar bahawa industri permainan video mempunyai pelbagai laluan kerjaya, bukan terhad kepada menjadi pemain profesional sahaja.
“Pendedahan awal seperti ini penting untuk membantu pelajar mengenal pasti minat dan potensi mereka dalam bidang berkaitan.
“Industri permainan video mempunyai peluang kerjaya yang semakin luas di Malaysia. Ekosistem industri ini merangkumi bidang seperti pembangunan permainan, e-sukan, pengurusan acara, pemasaran, media sosial, reka bentuk grafik, produksi video, penyiaran langsung, penulisan kreatif, pengurusan komuniti dan pengujian permainan.
“Selain itu, perkembangan acara e-sukan, komuniti gaming, studio pembangunan permainan serta penglibatan jenama dalam kempen berkaitan gaming menunjukkan bahawa industri ini mempunyai potensi besar untuk terus berkembang.
“Dengan pendedahan, latihan dan pembangunan kemahiran yang sesuai, pelajar berpeluang meneroka industri ini sebagai salah satu pilihan kerjaya masa hadapan,” katanya.
Untuk pengetahuan, program PUBG Mobile School of Wonder ialah inisiatif pendidikan yang menggunakan mod WOW dalam PUBG Mobile bagi memperkenalkan pelajar kepada asas pembangunan permainan, reka bentuk peta, pemikiran kreatif dan pembelajaran berasaskan projek dalam persekitaran digital interaktif.
Clazroom College pula merupakan institusi pengajian tinggi swasta dan institusi pendidikan kreatif yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dalam bidang seni digital, animasi, permainan dan produksi filem.
Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan industri, pelajar didedahkan kepada pengalaman dunia sebenar, pembangunan portfolio berkualiti serta kemahiran teknikal dan soft skills dalam persekitaran pembelajaran yang dinamik dan interaktif.
Clazroom College turut diiktiraf di peringkat antarabangsa menerusi pencapaian pelajar yang berjaya merangkul kejuaraan kategori 3D Digital Game Art di pentas pertandingan kemahiran dunia.
Penganjuran PUBG Mobile School of Wonder di Clazroom College turut mencerminkan komitmen industri permainan video dalam mendekati institusi pendidikan melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dan teknologi kreatif.
Kongsi Muhammad Arif Shahir lagi, perancangan masa depan adalah untuk memperluas pelaksanaan program ini ke lebih banyak sekolah, kolej dan universiti di seluruh Malaysia.
“Selain sesi pengenalan dan kelas asas, program ini juga berpotensi dikembangkan kepada modul pembelajaran yang lebih tersusun, pertandingan reka bentuk peta atau mod permainan, sesi bimbingan lanjutan serta pembangunan komuniti pelajar.
“Kami juga ingin memastikan peserta terus mendapat sokongan selepas program selesai, antaranya melalui komuniti rasmi PUBG Mobile WOW.
“Melalui platform tersebut, pelajar boleh terus berkongsi idea, mendapatkan bimbingan, bertanya soalan dan mengikuti perkembangan program pada masa akan datang.
“Harapan kami agar program seperti ini dapat menjadi platform awal untuk melahirkan lebih ramai bakat muda dalam bidang permainan video, e-sukan dan industri kreatif digital di Malaysia,” katanya.














