fbpx
MIMI berkata tidak menyangka terpilih untuk menggalas watak yang sebesar itu dalam sebuah pementasan teater.

Saya akan galas Bayan sebaik-baiknya – Mimi Fly

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penyanyi Mimi Fly mengakui peluang menggalas watak Bayan dalam pementasan teater Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) merupakan salah satu pencapaian besar dalam kerjaya seninya.

Mimi atau nama penuhnya Shamimi Amalina Norhisham, 39, berkata, dia tidak menyangka terpilih untuk menghidupkan watak sebesar itu di pentas teater.

“Terima kasih yang tak terhingga saya ucapkan kepada semua yang sudah mengucapkan syabas kepada saya.

“Terima kasih PGL The Musical di atas kepercayaan anda untuk membenarkan saya memikul tanggungjawab sebagai Bayan tahun ni.

“Oh Tuhanku, Bayan! Akan saya galas dengan sebaik-baiknya, insya-Allah,” katanya.

Ujar penyanyi lagu Angkat itu, dia sudah melakukan pelbagai perkara sepanjang bergelar anak seni kecuali pementasan teater muzikal.

“Sudah 18 tahun dalam industri, saya dah menyanyi, menari, buat lagu, hasilkan muzik video, berlakon dalam drama dan filem. Cuma tidak buat teater muzikal saja.

“Peluang ini sangat bermakna dan pencapaian besar untuk saya.

“Terima kasih banyak-banyak, saya hargai dan tidak akan mensia-siakannya. Tolong beli tiket ya semua,” katanya lagi.

Hari ini, Mimi diumumkan sebagai pemegang watak Bayan dan seorang lagi yang akan menerajui peranan sama ialah pelakon, Nadia Aqilah.

Selepas lebih dua dekad mencipta fenomena, Penerbit Eksekutif dan Pengarah PGLM, Puan Sri Tiara Jacquelina kembali menghidupkan legenda ikonik berkenaan dengan membuka sesi uji bakat rasmi bagi mencari barisan pelakon generasi baharu.

Watak utama seperti Puteri Gunung Ledang, Hang Tuah, Sultan, Adipati dan Bayan antara peranan yang menanti untuk dihidupkan semula dengan nafas baharu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN