fbpx
Gambar hiasan.

Hampir 80 peratus penerima Budi95 guna kurang 200 liter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong memaklumkan hampir 80 peratus penerima subsidi Budi Madani (Budi95) menggunakan kurang 200 liter petrol sebulan.

Beliau berkata, berdasarkan jumlah itu, kesan kepada pengguna selepas pengurangan daripada 300 liter kepada 200 liter bernula pada 1 April lalu sangat sedikit.

“Adakah ramai terkesan? Sebenarnya sangat sedikit kerana data menunjukkan 80 peratus rakyat Malaysia menggunakan kurang 200 liter sebulan.

“Baki 20 peratus lagi boleh menyesuaikan penggunaan sama ada mengurangkan penggunaan, mengubah waktu penggunaan atau membayar sedikit lebih,” katanya dalam program anjuran Affin Group, di sini semalam.

Chin Tong berkata, langkah seterusnya mungkin melibatkan had penggunaan 150 liter memandangkan kira-kira 60 peratus rakyat menggunakan kurang daripada jumlah itu, manakala hampir separuh rakyat  menggunakan bawah 100 liter sebulan.

Katanya, kerajaan perlu melihat Budi95 bukan hanya dari sudut fiskal, tetapi keselamatan bekalan negara terutama ketika berdepan ketidaktentuan global atau konflik berpanjangan.

“Saya melihat isu ini dari sudut keselamatan negara. Kebimbangan utama adalah bagaimana memastikan bekalan mencukupi dan konsisten untuk tempoh yang panjang walaupun berlaku krisis atau peperangan,” ujarnya.

Beliau menambah, sekiranya rakyat dapat menerima keperluan mengurangkan penggunaan demi memastikan bekalan bertahan lebih lama, kerajaan akan lebih mudah menangani tekanan fiskal negara.

Dalam masa sama, beliau menegaskan golongan rentan seperti pengguna motosikal dan kelompok berpendapatan rendah perlu terus dilindungi daripada kenaikan kos bahan api.

“Pengguna motosikal misalnya hanya menggunakan sekitar 15 liter sebulan. Golongan ini perlu terus menikmati subsidi kerana kesan politik dan sosial akan tinggi jika mereka terbeban,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN