PETALING JAYA – Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong menafikan beliau membuat pengumuman atau dasar baharu bagi pihak kerajaan termasuk had 150 liter subsidi di bawah program Budi Madani RON95 (Budi95) hari ini.
Beliau berkata, laporan yang diterbitkan beberapa portal berita tidak tepat kerana diambil di luar konteks percakapannya.
Chin Tong berkata, dalam temu bual itu, beliau menjelaskan Budi95 merupakan mekanisme yang baik keran memberi data menyeluruh untuk memahami corak perjalanan harian rakyat Malaysia.
“Keutamaan kerajaan dan seluruh masyarakat adalah untuk memastikan kita mempunyai bekalan petrol yang mencukupi untuk tempoh yang paling lama.
“Masyarakat perlu memastikan bekalan petrol dapat bertahan untuk tempoh yang paling lama, dan kita perlu membina konsensus untuk menyokong usaha penjimatan penggunaan petrol,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Chin Tong memberitahu, beliau kesal kerana kenyataannya telah mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Saya harap semua pihak dapat memahami konteks penuh apa yang sebenarnya saya katakan. Terima kasih,” katanya.
Terdahulu, beberapa media melaporkan kuota penggunaan bahan api RON95 bulanan di bawah Budi95 berpotensi dikurangkan kepada 150 liter.
Langkah itu sejajar dengan usaha kerajaan untuk memastikan keterjaminan bekalan bahan api domestik dalam berdepan krisis bekalan global susulan konflik Asia Barat. – KOSMO! ONLINE














