SHAH ALAM – Larangan sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah bagi institusi di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dibuat bagi mengelakkan ibu bapa terus terbeban dengan kos penyediaan hadiah untuk guru.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, keputusan itu diambil susulan wujudnya kesan kepada ibu bapa atau penjaga yang menjadi tradisi menyediakan hadiah-hadiah tertentu kepada guru atas permintaan anak-anak.
Katanya, JAIS melihat perkara itu perlu dihentikan kerana ia memberi kesan kewangan kepada ibu bapa atau penjaga dalam keadaan ekonomi semasa ketika ini.
“JAIS akan mempertimbangkan untuk Sambutan Hari Guru dibuat semula di peringkat sekolah dan daerah apabila keadaan kembali seperti sedia kala.
“Beberapa perkara berkaitan pelaksanaan sambutan itu juga akan dinilai semula termasuk tempoh masa sambutan agar tidak mengganggu proses pembelajaran serta tentatif yang lebih ringkas dan selaras untuk semua sekolah di bawah seliaan JAIS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, menerusi surat edaran JAIS bertarikh 7 Mei lalu yang menetapkan semua sekolah di bawah pentadbiran jabatan itu tidak dibenarkan mengadakan Sambutan Hari Guru di peringkat sekolah dan daerah bagi tahun ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, JAIS, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor tetap menghargai jasa serta pengorbanan guru dalam mendidik pelajar di negeri ini.
Menurutnya, Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor akan tetap diadakan pada 21 Mei depan dengan pengiktirafan kepada tokoh guru serta sekolah cemerlang.
“Majlis itu melibatkan peruntukan melebihi RM200,000 daripada MAIS dan kerajaan negeri dalam bentuk wang tunai serta geran kepada penerima yang dipilih,” jelasnya.
Tambahnya, keputusan tersebut juga selaras dengan saranan kerajaan untuk rakyat berbelanja secara berhemah, bijak dan meminimumkan penggunaan tenaga susulan situasi geopolitik semasa yang tidak menentu dan berkemungkinan menjadi lebih buruk.
“Sultan Selangor turut menitahkan agar rakyat jelata di negeri ini melakukan perbelanjaan mengikut keperluan dan keutamaan, berhemah serta bijaksana,” katanya. – KOSMO! ONLINE














