KLANG – Suasana perhimpunan pagi di sebuah sekolah di Kapar bertukar pilu apabila seorang murid lelaki Tahun Enam dilaporkan pengsan sebelum disahkan meninggal dunia di hospital, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 pagi ketika kanak-kanak berusia 12 tahun itu sedang menyertai perhimpunan seperti biasa di sekolah rendah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, mangsa segera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut selepas tidak sedarkan diri.
Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia ketika berada di hospital berkenaan.
“Hasil siasatan awal serta bedah siasat tidak menemukan sebarang unsur jenayah. Punca kematian masih belum dapat disahkan dan sedang menunggu keputusan analisis makmal,” katanya hari ini.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). – KOSMO! ONLINE














