fbpx
MEMPERHEBATKAN nilai The Grand Slam Unplugged 2 turut mengundang tiga gitaris ikonik tanah air, JoBranko, Aznan dan Kid Search untuk sama-sama beraksi di atas pentas.

3 gitaris otai ‘kasi getar’ The Grand Slam Unplugged 2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IBARAT kisah epik seperti sebuah konsert dengan momen luar biasa secara semula jadi adalah sangat sukar untuk diulang, namun boleh diterjemahkan dengan lebih kaya seperti kembali ke terowong masa dalam atmosfera baharu.

Pengalaman-pengalaman hebat sebegitu merupakan satu pertembungan antara momen epik dan perayaan repertoir yang cukup besar dan mahu dipersembahkan dalam sebuah konsert yang digelar The Grand Slam Unplugged 2.

The Grand Slam Unplugged 2 akan menjadi sekuel paling menarik setelah edisi perdana yang berlangsung dua dekad lalu dikembalikan semula dengan segala perasaan campak belakang, namun kini dengan bungkusan lebih menarik.

Momen magis malam 3 Ogos 1996 di Stadium Merdeka bakal berulang. Bukan sekadar mahu menghidupkan semula The Grand Slam Unplugged yang pernah menjadi sejarah terhebat industri muzik tempatan kerana konsert tetap berlangsung gah meski terkendala gangguan elektrik, tetapi The Grand Slam Unplugged 2 adalah tentang mencipta momen baharu lewat kenangan silam.

“The Grand Slam Unplugged 2 adalah sebuah reminisensi, perasaan, kenangan dan keraian lagu-lagu Slam yang hidup sejak era kaset, masuk ke era cakera padat (CD) sehingga ke dunia penstriman tetap diterima baik oleh peminat kami.

“Ini bukan sebuah konsert ulang tayang, bukan juga sebuah konsert yang dilahirkan kerana mengambil kesempatan di atas sejarah tiada elektrik yang berlaku sewaktu The Grand Slam Unplugged di Stadium Merdeka, 20 tahun lalu.

“Tapi ini tentang sebuah apresiasi serta perayaan yang merayakan karya dan peminat. Konsert ini tentang perayaan kekuatan Slam mengharungi badai dan mampu bertahan, sekali gus kekal relevan dengan pasaran sekarang,” ujar gitaris Slam, Shah.

“Sejak dilancarkan, setakat ini tiket sudah 70 peratus terjual. Kami yakin peminat masih setia dengan Slam dan ini sangat mengharukan,” ujar Osman Khalid selaku pemain dram.

Menambahkan lagi kemeriahan dan kenangan pada 20 Jun ini, Slam turut menjemput tiga susuk penting dalam industri seni khususnya individu yang sinonim dalam pembikinan lagu-lagu ‘masterpiece’ Malaysia. Individu tersebut adalah Aznan Alias, JoBranko dan Kid Search merupakan figura penting yang akan mewarnai lagi suasana dan momen Unplugged kelak.

Mereka juga tiga gitaris yang membina nama, jenama dan ‘signature’ tersendiri dalam industri seni Malaysia.

“Saya menyifatkan ini merupakan sebuah undangan istimewa dan sesuatu yang tidak pernah disangka-sangka. Saya sangat menghargai jemputan ini. Bagi saya Slam adalah wajah sebenar genre pop Melayu,” ujar Aznan Alias yang merupakan gitaris dan Pengarah Muzik untuk konsert-konsert Datuk M. Nasir, Dato Awie dan ramai penyanyi terkenal Malaysia.

Buat JoBranko pula, dilamar menyemarakkan The Grand Slam Unplugged 2 adalah sebuah penghormatan dan menjadi lambang silaturahim antara sesama pemuzik dan sahabat industri.

“Tentu sekali saya berbangga untuk terlibat dalam projek mega Slam ini. Sebagai pemuzik dan sahabat, saya melihat Slam sebagai sebuah kumpulan yang hebat kerana mampu bertahan berpuluh tahun.

“Lebih membanggakan, Slam dianggotai lima kepala dan semuanya perlu menjadi satu, bersatu untuk kekal sehingga kini,” ujar JoBranko.

Malar segar

JoBranko bahkan percaya karya malar segar Slam akan membuat peminat sentiasa menyokong perjalanan seni mereka.

“Saya percaya The Grand Slam Unplugged 2 akan berlangsung sukses,” kata JoBranko.

Menurut Kid pula, penglibatan dalam The Grand Slam Unplugged 2 adalah sebuah apresiasi sesama pemuzik meski ‘hidup’ dalam genre berbeza.

“Muzik sentiasa menyatukan. Tidak kisah saya datang daripada kumpulan apa atau Slam membawa muzik berbeza genre, namun kita meraikan semuanya,” ujar Kid.

Segala yang direncana mahu dilaksana sesempurna mungkin. Slam mahu kehangatan yang pernah ditebarkan pada malam The Grand Slam Unplugged kembali terjalin di The Grand Slam Unplugged 2.

“Malam itu akan menjadi momen kita semua kembali merindu dan semoga tidak ada yang terasing dalam sepi. Itu janji Slam. Apa yang pasti The Grand Slam Unplugged 2 akan menjadi medan Masih Ada Cahaya dalam perjalanan Slam dan anda semua,” ujar Shah lagi.

The Grand Slam Unplugged 2 bakal berlangsung pada 20 Jun 2026 bertempat di Mega Star Arena Kuala Lumpur dan tiket boleh dibeli menerusi www.ilassotickets.com/thegrandslamunplugged2.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN