Kami seramai 14 orang pemancing menggunakan bot Kerisi Marine 4 untuk trip selama lima hari empat malam di perairan Luconia, Sarawak. Ekspedisi memancing itu menemukan kami dengan pelbagai spesies ikan yang selama ini menjadi idaman sebagai pelengkap koleksi ‘trofi’ masing-masing.
Bot ini dikendalikan oleh tekong Amir yang menyambung legasi bapanya, Jasmin. Bot mula meninggalkan jeti di hadapan Hotel Waterfront di Bintulu pada pukul 1 tengah hari. Seperti biasa, sebaik saja bot memulakan perjalanan, undian dilakukan bagi menentukan kedudukan tempat memancing masing-masing di atas bot.
Perkara ini penting dalam setiap trip yang dihadiri ramai pemancing. Ini bagi mengelak perselisihan faham apabila ada ahli yang asyik mengambil kedudukan terbaik di atas bot.
Hakikatnya, posisi tempat terbaik di atas bot ini sentiasa berubah-ubah bergantung kepada keadaan arus, kedudukan bot semasa berhanyut dan berlabuh.
Ada kalanya, pemancing di hadapan bot lebih baik hasilnya berbanding mereka yang di belakang, dan ada masanya siapa yang duduk di tengah lebih banyak dapat ikan berbanding di tempat lain.
Ia tidak tetap, lebih-lebih lagi di dalam trip yang panjang seperti ini.
Pendek kata, berada di kedudukan masing-masing itu lebih baik daripada berebut-rebut tempat.

Hanya jika ada persetujuan daripada pihak lain barulah boleh bertukar-tukar tempat. Jadi, semua boleh berpuas hati.
Selepas mengemas barangan di tempat yang telah diundi, masing masing mula menyiapkan peralatan memancing. Masa yang terluang sebelum tiba di lokasi dihabiskan dengan berehat dan mengeratkan hubungan sesama ahli trip.
Yellowfin tuna
Kira-kira 14 jam perjalanan, bot tiba di lubuk pertama yang dikenali sebagai Sea Horse Breaker. Selain memulakan sesi pancingan, masa ini juga penting bagi enjin bot ‘berehat’ selepas menempuh perjalanan yang jauh dan lama.
Pancingan dasar menjadi aktiviti utama pada malam itu, semua pemancing menurunkan umpan hirisan ikan tongkol yang disediakan oleh awak-awak. Ada juga ahli trip yang membeli sendiri stok umpan alternatif seperti seperti sotong, ikan kembung dan timah.
Perairan ini memang terkenal dengan populasi ikan yang sangat banyak di dasarnya.
Tidak menunggu lama Haji Leman memulakan acara dengan seekor ikan ibu kerisi.
Sebaik sahaja ikan tersebut dinaikkan, sekeliling bot riuh-rendah dengan bermacam jenis ikan demersal bersilih ganti dinaikkan.
Antara hasil yang rancak pemancing dapat ketika itu adalah sepasang ikan yellowfin tuna yang dianggarkan hampir mencecah 25 kilogram setiap seekor.
Perlawanan dengan ikan tuna tersebut sememangnya lama kerana ia terkenal sebagai ikan yang degil, laju dan kuat.

Pemancing lain mengarau naik tali masing-masing bagi memberi laluan untuk mendaratkan ikan itu tanpa membuatkan tali bersilang.
Malam semakin tua dan mungkin bot sudah berganjak posisinya dari lubuk, akibat tiupan angin menyebabkan peratusan ikan memakan umpan mula menurun dengan nisbah satu jam seekor.
Seorang demi seorang mula meninggalkan tempat masing-masing dan beransur masuk ke bilik tidur setelah jerih melayan ikan sepanjang malam.
Hari-hari seterusnya
Keesokan hari, sebaik cuaca mulai cerah, tekong bot mengubah lokasi pancingan dengan tempoh perjalanan dalam tiga jam lagi.
Dengan pengalaman yang diperolehi daripada bapanya, tiada masalah untuk tekong Amir berlabuh sauh dengan sekali percubaan sahaja.
Di lokasi ini, pancingan dasar diteruskan berselang-seli dengan mengunjun jig. Spesies ikan yang mendominasi hasil tangkapan adalah kerisi bali dan ruby snapper.
Selain itu, ada juga ikan kerapu longtan, amberjack dan bermacam spesies kerapu yang enak dibuat hidangan di atas bot.
Paling menggemparkan adalah ikan dogtooth tuna yang memberi perlawanan amat padu kepada pemancing dengan pecutan jauh dan kuat.
Hari ketiga dan keempat juga berlangsung seperti hari pertama serta kedua.
Semua situasi pancingan berlaku dengan aman dan tenteram tanpa sebarang masalah atau halangan yang timbul baik daripada peserta, keadaan cuaca serta kondisi bot.
Sememangnya apabila memancing di laut dalam, hari-hari yang dilalui terasa sangat singkat kerana semua pemancing akan sibuk dengan pelbagai aktiviti di atas bot.
Tanpa disedari, sudah tiba hari terakhir dan sampai masanya untuk bot bergerak pulang semula ke jeti.
Sebaik saja tiba di jeti, semua hasil tangkapan dikeluarkan, disusun mengikut spesies, kemudian bergambar kenangan dan pembahagian ikan dilakukan.
Setelah ditanda nama pada setiap kotak penyejuk. Kotak berisi ikan terus dihantar ke tempat penyimpanan sejuk beku yang diuruskan oleh ejen dilantik.
Manakala pemancing pulang ke hotel dengan barangan peribadi untuk berehat.
Kotak-kotak itu tadi akan diambil semula pada hari check-out dan seterusnya dibawa ke Lapangan Terbang Bintulu untuk dibawa pulang ke Semenanjung.
















