IPOH – Sebanyak 377 kes lurang terbuka (manhole) yang berkaitan dengan aktiviti mencuri kabel bawah tanah Telekom Malaysia (TM) direkodkan sehingga Mac lalu di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd. Azlan Helmi Helmi berkata, perkembangan itu merupakan satu perkara yang membimbangkan kerana ia merupakan peningkatan sehingga 68 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Pada 2024, sebanyak 539 kes telah direkodkan dan angka ini meningkat dengan ketara kepada 908 kes pada 2025. Bagi 2026 pula, sehingga bulan Mac sahaja, sebanyak 377 kes telah direkodkan iaitu peningkatan sebanyak 68 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya,” katanya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Paduka Seri Sultan Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.
Mengulas lanjut, Mohd. Azlan Helmi berkata, secara keseluruhannya, trend itu jelas menggambarkan bahawa isu pencerobohan dan lurang terbuka masih berleluasa walaupun pelbagai langkah telah diambil oleh pihak kerajaan negeri.
“Pihak kerajaan negeri telah mengarahkan pihak TM bagi melaksanakan beberapa langkah proaktif seperti Inisiatif Pateri Penutup Lurang dan Lapisan Kedua.
“Dari 2024 hingga 2025, sebanyak 1,052 lurang telah dipateri, termasuk 316 di daerah Kinta. Sehingga Mac 2026, tambahan 361 lurang telah dipateri, menjadikan jumlah keseluruhan 1,413 lurang,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, masih terdapat kes penutup yang telah dipateri dipecahkan.
“TM Perak sedang melaksanakan pengeluaran kabel tembaga yang tidak lagi digunakan selaras dengan peralihan kepada teknologi fiber. Aktiviti ini dijalankan mengikut prosedur operasi standard, termasuk pemakluman kepada pihak polis bagi mengelakkan sebarang salah faham atau penyamaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE














