fbpx
Mohammad Shahrul (kiri) menunjukkan ikan temoleh Sungai Perak yang berjaya didaratkan Kuala Kangsar semalam.

Empat orang pikul seekor ikan temoleh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA KANGSAR – Nelayan di sekitar perkampungan di sini tidak menyangka penat lelah menjala di Sungai Perak pada pukul 12 tengah malam membuahkan hasil lumayan apabila berjaya mendaratkan ikan temoleh atau temelian seberat 34.5 kilogram bernilai RM3,450 semalam.

Spesies bersaiz besar itu dikatakan agak sukar ditemui kerana sifatnya yang agresif dan payah ditangkap.

Mohammad Shahrul Buari, 39, berkata, ia merupakan tangkapan pertama selepas berpuluh tahun dan menjadi bonus buat mereka.

“Ia hanya aktif pada waktu sunyi sama ada awal pagi atau tengah malam. Biasanya kami turun antara pukul 12 hingga 7 pagi untuk mendapatkan ikan tersebut.

“Ikan temoleh tidak makan pancing kerana ia jenis menyedut dan jarang terkena mata kail. Isinya lembut, manis dan padat sesuai dimasak stim, gulai atau panggang,” katanya.

Menurut Mohammad Shahrul, kaum Cina dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Pahang sanggup datang ke situ jika ada bekalan.

Tambahnya, ikan itu akan dijual kepada pelanggan yang berminat dan bersyukur memperoleh pendapatan tambahan ketika Aidiladha selepas bersengkang mata.

Jajaran Sungai Perak terutamanya dari daerah Gerik sehingga ke Kuala Kangsar kaya dengan ikan liar dan bersifat eksotik seperti terubuk, temoleh, kelabau, tenggalan, patin, baung, jelawat dan ketutu.

Harga kesemua ikan eksotik bersifat liar ini mampu mencecah empat angka yang bergantung pada saiz dan beratnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN