BACHOK – Seorang pelajar perempuan yang dipercayai mengalami histeria diselamatkan guru dan pihak bomba daripada terjatuh dari tingkat satu sebuah sekolah menengah di Gunong di sini hari ini.
Kejadian tersebut dikatakan berlaku pada pukul 11.30 pagi sebelum guru-guru sekolah tersebut meminta bantuan daripada anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bachok yang dalam perjalanan untuk memadam kebakaran tanah gambut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, ketika melalui kawasan sekolah itu, pasukannya dipanggil beberapa guru yang sedang menenangkan seorang pelajar yang berusia 14 tahun.
Katanya, anggota bomba memujuk pelajar tingkatan dua itu yang dipercayai mengalami histeria daripada terjatuh dari tingkat satu bangunan sekolah berkenaan.
“Anggota bomba dan guru mengambil masa 10 minit untuk memujuk dan menenangkan remaja tersebut. Pelajar itu kemudian diserahkan kepada guru untuk tindakan lanjut. Remaja tersebut dipercayai diserang histeria apabila dia dilihat seperti berhalusinasi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! pada pukul 3.30 petang tadi mendapati keadaan sekolah tersebut kembali tenang. Pihak sekolah serta penduduk setempat enggan mengulas lanjut mengenai kejadian. – KOSMO! ONLINE














