PONTIAN – “Keputusan ini hadiah atas pengorbanan abang sulung selama ini yang menjaga kami selepas kematian ayah dan
ibu.”
Itu kata pelajar Sekolah Menengah Agama (Arab) An-Nur, Benut, Qatrunnada Thaqifah Mohamed, 18, yang mendapat keputusan cemerlang 11A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini.
Menurutnya, kejayaan tersebut hasil semangat dan dorongan abang sulungnya, Muhammad Aiman Ashraf, yang kini memikul tanggungjawab sebagai penjaga selepas pemergian kedua-dua ibu bapa mereka.
Katanya, bapanya meninggal dunia pada tahun 2021 akibat kanser paru-paru, manakala ibunya menghembuskan nafas terakhir pada tahun 2023 akibat radang paru-paru menjadikan dia kehilangan kasih sayang ibu bapa pada usia remaja.
“Selepas pemergian ayah dan ibu, abanglah yang menjaga saya serta adik-beradik lain.
“Dia banyak berkorban dengan bekerja sebagai pembantu kedai demi memastikan kami terus bersekolah dan menampung keperluan harian,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, antara kunci kejayaannya adalah disiplin dalam pembelajaran, menjaga hubungan dengan Allah, menghormati guru serta konsisten dalam mengulangkaji pelajaran.
Dalam pada itu, SMA (Arab) An-Nur turut mencatat keputusan membanggakan apabila majoriti pelajarnya memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM tahun berkenaan, sekali gus mengukuhkan kedudukan sekolah itu sebagai antara sekolah agama terbaik di negara ini.














