fbpx
TURKIYE memang kaya dengan kehalusan seni tangan dalam rekaan karpet, pinggan mangkuk dan lain-lain lagi. – SYAKIR RADIN dan IHSAN AMBER

Klasik islamik, versatil inspirasi Istanbul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP kali Ramadan menjelma, landskap industri fesyen tempatan mempamerkan perubahan apabila banyak jenama saling melancarkan koleksi pakaian baharu yang bersesuaian ‘mood’ bulan mulia, Ramadan dan Syawal. 

Tidak ketinggalan jenama fesyen tempatan, Amber yang tampil dengan koleksi penuh emosi, nilai warisan dan kehalusan seni.

Koleksi itu bukan sekadar memperlihatkan keindahan busana, tetapi turut mengangkat makna kasih sayang, kebersamaan dan nostalgia melalui rekaan teliti dan berkualiti. 

Mengambil inspirasi daripada keindahan seni bina dan warisan kota Istanbul, Turkiye menjadikan koleksi raya Amber tahun ini menggabungkan elemen klasik islamik dengan pendekatan moden penuh versatil yang sesuai untuk digayakan sepanjang musim perayaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Amber, Datuk Adzliana Hasan memberitahu, setiap helaian direka dengan siluet lembut, potongan anggun dan fabrik pilihan bagi menitikberatkan keselesaan tanpa mengorbankan estetika. 

Katanya, koleksi ini diperkenalkan menerusi pendekatan yang lebih berteraskan emosi dan nilai bermakna, sejajar dengan aspirasi jenama untuk meraikan warisan dan kebersamaan.

“Koleksi Amber Eid’s: Time For Love merupakan satu kempen yang merupakan simbol kepada kasih sayang yang bukan sekadar tentang penampilan tetapi mengenai detik-detik bermakna bersama insan tersayang. 

“Setiap rekaan dihasilkan dengan penuh ketelitian bagi memastikan ia bukan sahaja cantik digayakan, tetapi turut membawa nilai sentimental yang boleh dikenang dan diwariskan,” katanya ketika ditemui dalam acara pertunjukan fesyen Amber baru-baru ini. 

AMIRA OTHMAN dalam salah satu persalinan koleksi Amber yang dipengaruhi seni bina Istanbul.

Menurut Adzliana, Istanbul dijadikan sebagai latar konsep baharu itu menepati ciri-ciri dan elemen yang cuba diketengahkan oleh jenama iaitu islamik dan nostalgia.

“Turkiye merupakan sebuah negara yang kaya dengan kesenian sejarah, budaya, seni bina dan juga kehalusan seni tangan dalam rekaan karpet, pinggan mangkuk dan bermacam lagi.

“Jadi bagi koleksi ini, Amber menampilkan enam koleksi wanita dan dua koleksi lelaki yang diinspirasikan daripada keindahan seni bina dan warisan Istanbul.

“Koleksi ini meraikan keanggunan Istanbul melalui penggunaan fabrik ringan, siluet yang flowy, ruffle halus serta sulaman teliti yang menjadikannya pilihan sempurna untuk momen Syawal penuh makna,” ujarnya. 

Enam koleksi wanita ialah Lalizar yang dinamakan sempena motif tulisan diraja sekali gus melambangkan kehalusan serta warisan klasik empayar Uthmaniyyah. Seterusnya AyaSofya yang diinspirasikan oleh kubah Hagia Sophia dengan potongan hadapan terbuka dan pleats accordion iaitu teknik rekaan memberi kesan dinamik beralun dan mewah pada busana.

“Kemudian Mihrimah pula diambil sempena nama satu-satunya puteri Sultan Suleyman dengan menampilkan kolar berlipat dan potongan lengan terbuka bak sinar matahari. 

PERTUNJUKAN fesyen koleksi terbaharu itu turut menampilkan pakaian lelaki.

“Hurrem pula mencerminkan semangat sultan berpengaruh melalui peplum regal dan corak floral dari taman Harem Topkapi, sementara Iznik pula busana ringan yang meraikan seni seramik klasik Iznik, dilengkapi bib beropol dan sulaman motif bunga istana (tulip).

“Terakhir ialah Sarayli bermaksud dilahirkan di istana, melambangkan kemewahan yang tenang dengan potongan ringan, lengan peasant (kembang dan volum) lembut serta kolar tinggi berlipat,” katanya. 

Bagi koleksi lelaki pula direka dengan gaya maskulin moden dengan menggunakan fabrik kapas bersama potongan sederhana yang diilhamkan daripada corak sejarah Topkapi. 

Menampilkan siluet santai dan palet warna semula jadi, ia sesuai digayakan untuk lebaran mahupun pemakaian harian menerusi dua rekaan iaitu Bosphorus dan Rumeli.

Sebagai pelengkap, Amber turut memperkenalkan Amber Luxe: An Interpretation iaitu koleksi eksklusif sulung yang menonjolkan rekaan lebih premium.

Menggunakan satin mewah dan chiffon sutera ringan, koleksi tersebut dihiasi lipatan kemas, ruffle serta perincian reben yang halus. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN