Sejak kebelakangan ini, estetika pakaian tenis semakin mendapat tempat dalam dunia fesyen harian apabila ramai mula memilih gaya yang ringkas, sporty dan kemas sebagai identiti penampilan seharian.
Daripada skirt berlipat, baju polo berpotongan klasik sehinggalah jaket sukan berinspirasikan retro, elemen yang dahulunya hanya dilihat di gelanggang kini berjaya menembusi gaya jalanan dan menjadi simbol penampilan yang santai, namun tetap sofistikated.
Bukan lagi sekadar pakaian untuk bersukan, gaya tennis-inspired kini diterjemahkan dalam pelbagai cara yang lebih moden dan mudah digayakan setiap hari.
Dipadankan bersama sneakers putih, stoking tinggi dan beg silang minimalis, estetika ini memberi keseimbangan antara elemen sporty dan feminin tanpa kelihatan terlalu mencuba.
Malah, ramai selebriti dan pencipta kandungan fesyen mula menjadikan gaya ini sebagai ‘uniform’ harian kerana sifatnya yang praktikal, namun tetap bergaya.
Menariknya, populariti trend ini turut dipengaruhi budaya pop dan kebangkitan semula fesyen era 80-an serta 90-an yang kembali menjadi rujukan generasi hari ini.
Kejohanan tenis berprestij seperti Wimbledon misalnya, bukan sahaja terkenal dengan aksi sukan bertaraf dunia, tetapi juga identiti visual yang sinonim dengan gaya klasik serba putih, kemas dan elegan.
Daripada situ, lahirnya interpretasi baharu yang lebih kasual dan sesuai dipakai ke kafe, acara hujung minggu mahupun ketika bercuti.
Apa yang menjadikan estetika tenis begitu menarik ialah kemampuannya menyerlahkan imej yang bersih dan mahal tanpa memerlukan padanan yang terlalu rumit.
Dalam dunia fesyen yang semakin bergerak ke arah keselesaan dan gaya autentik, tennis-inspired outfit dilihat sebagai pilihan ideal buat mereka yang mahu tampil segar, aktif dan effortlessly stylish dalam rutin harian.
Berkongsi penggayaan fesyen itu, Pengurus Pemasaran Fred Perry Malaysia, Darren Teh berkata, gaya tersebut sudah pun sinonim sejak dahulu lagi, namun semakin popular sejak akhir-akhir ini.
“Gaya tennis-core look menjadi trend dalam dunia fesyen sejak kebelakangan ini dan ramai cuba menggayakannya sebagai pakaian harian.
“Jika mengambil kisah perjalanan Fred Perry sendiri yang bermula sebagai budak jalanan kepada bintang tenis dunia, dia dikenali sebagai bintang tenis paling bergaya pada zamannya dan daripada situ, ramai yang mahu bergaya sepertinya,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran koleksi Fred Perry Racquet Club baru-baru ini.
Teh menambah, tiada syarat tertentu dalam penggayaan pakaian tenis yang sering dikaitkan dengan imej mewah dan eksklusif.
“Jika anda bertanya kepada saya bagaimana cara untuk gayakan pakaian tenis sebagai pakaian harian, jawapan saya adalah gayakan sahaja dengan apa jua cara sekali pun.
“Ia terpulang kepada anda. Anda boleh gayakan secara ‘old school’ iaitu gaya ‘tucked in’, atau anda juga boleh gayakan bersama seluar jean atau seluar berpotongan baggy.
“Saya lihat gaya tersebut kerap digayakan di Jepun. Tambahan pula, seluar berpotongan baggy juga kembali jadi trend fesyen kini dan saya fikir gaya itu sesuai sebagai gaya harian,” katanya.
Selain potongan pakaian yang selesa, pilihan warna juga memainkan peranan penting dalam menjadikan estetika tenis kelihatan lebih moden dan versatil.
Warna-warna asli seperti putih, krim, hitam, biru kelasi dan hijau gelap sering menjadi pilihan kerana mudah dipadan dengan pelbagai aksesori serta sesuai digayakan dalam cuaca tropika Malaysia.
Tidak hanya tertumpu kepada pakaian, trend ini turut mempengaruhi pilihan aksesori termasuk topi, jam tangan sporty dan beg bersaiz kecil yang melengkapkan keseluruhan penampilan.
Malah, stoking tinggi dan kasut sneakers klasik kini kembali menjadi antara item fesyen yang popular dalam kalangan generasi muda. Fenomena tersebut turut memperlihatkan bagaimana dunia sukan dan fesyen kini saling berkait rapat dalam membentuk trend semasa.















