Minggu lalu, terdapat dua kes pembunuhan yang menggegarkan negara. Kes pertama melibatkan pelajar tingkatan empat yang ditikam rakan sekolah sendiri. Suspek didakwa ada menyimpan perasaan kepada mangsa.
Apa yang menyayat hati apabila ibu mangsa mendedahkan, terdapat 200 tikaman pada badan anaknya.
Kes kedua melibatkan seorang wanita bersama anak angkatnya yang berusia 11 tahun maut dibunuh dalam keadaan mengerikan.
Jika dahulu berita sebegini dianggap luar biasa, kini ia seolah-olah perkara biasa. Ramai mula melontar soalan sama, kenapa manusia hari ini semakin mudah ‘hilang kewarasan’?
Paling merisaukan apabila kes pembunuhan berlaku di sekolah. Ada yang menyalahkan tekanan hidup, pengaruh media sosial dan tidak kurang juga pihak yang menuding jari kepada sistem pendidikan serta kelemahan undang-undang, namun persoalan sebenar bukan sekadar ‘siapa salah’, tetapi ‘apa yang kita sudah abaikan’.
Hidup dalam zaman moden ini datang dengan tekanan yang luar biasa. Kos sara hidup meningkat, gaji tidak seberapa, beban hutang bertambah. Semua ini jika tidak dikawal dengan emosi yang stabil, boleh bertukar menjadi letusan marah yang berakhir dengan tragedi.
Namun begitu, bukan semua tekanan berakhir dengan kekerasan dan kematian. Bezanya ialah kawalan diri dan nilai kemanusiaan yang tertanam sejak kecil. Bila asas ini longgar, sekecil-kecil provokasi pun boleh membawa kepada tindakan di luar kawalan.
Media sosial pula menjadi tempat baru melampiaskan amarah. Keganasan yang sering dipertontonkan sama ada dalam drama, filem atau media sosial, sedikit demi sedikit menormalisasikan kekerasan dalam fikiran masyarakat.
Dahulu, ibu bapa dan guru memainkan peranan besar membentuk jiwa penyabar dan empati. Kini, ramai anak membesar dengan telefon di tangan, bukan dengan nasihat atau bimbingan di meja makan. Nilai kasih sayang dan hormat semakin nipis malah diganti dengan ego dan emosi segera.
Dalam banyak kes yang berlaku, punca sebenar bukan sekadar cemburu atau hutang, tetapi emosi yang tidak diurus. Masyarakat kita masih malu untuk bercakap tentang kesihatan mental. Bila stres, kita pendam. Bila marah, kita simpan. Hingga satu saat, semuanya meletup.
Satu hal yang membimbangkan ialah hilangnya rasa takut kepada dosa dan undang-undang. Bila hati sudah gelap dengan dendam, manusia sanggup berbuat apa sahaja. Kita juga perlu kembali menanam nilai empati dalam masyarakat. Ajarkan anak-anak bahawa perbezaan pendapat bukan alasan untuk membenci.
Akhirnya, keselamatan bukan hanya tentang polis dan undang-undang. Ia bermula dengan akal yang waras dan hati yang tenang. Bila jiwa manusia rosak, undang-undang sekuat mana pun tidak akan mampu menahan tangan yang sudah digenggam dengan kebencian.
Dunia ini sebenarnya tidak kekurangan manusia pintar, tetapi kekurangan manusia yang berhati mulia. Jika setiap daripada kita belajar menahan marah dan menghargai nyawa, mungkin esok kita tidak lagi membaca berita tentang nyawa yang diragut kerana emosi sesaat.














