JITRA – Siapa sangka minat melukis potret suatu ketika dahulu membuka pintu rezeki kepada seorang tenaga pengajar sebuah pusat pengajian agama yang sehingga kini telah menyiapkan lebih 1,000 tempahan hasil seni khat.
Menurut Arief Asyhraf Zaidi, 29, dia mula belajar seni khat pada usia 14 tahun daripada Ustaz Zuhud Ulya Iberahim ketika di Sekolah Menengah Agama Maahad Tahfiz Abidin di Pendang, dekat sini.
Katanya, dia terus mendalami seni itu ketika melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar As-Syariff, Mesir dengan tokoh khat, Syeikh Belaid Hamidi dan masih belajar bersama Ustaz Puma Lorenki dari Jambi, Indonesia.
“Saya sebenarnya minat melukis potret sejak kecil tetapi selepas masuk sekolah agama, ustaz-ustaz banyak dedahkan tentang seni khat. Dari situ saya mula jatuh cinta pada keindahan tulisan khat,” katanya ketika ditemui di Dewan Selawat Raudhah Muhibbin, di sini baru-baru ini.
Menurutnya, selain tulisan khat, antara karya utamanya ialah pelbagai jenis selawat dalam bentuk khat potret wajah hasil cetusan idea gurunya, Al-Fadhil Ustaz Neezam Al-Banjari.
“Proses menghasilkan khat memerlukan ketenangan dan tumpuan yang tinggi, selain memastikan susunan huruf mengikut kaedah betul yang dipelajari daripada guru-guru serta merujuk kepada karya terdahulu.
“Pemilihan selawat setiap karya bagi potret khat ditentukan mengikut permintaan atau apa yang dihajati pelanggan sama ada untuk mereka yang sedang sakit atau bagi yang memohon ketenangan hati,” ujarnya.
Jelasnya, bagi karya potret khat, masa paling cepat untuk disiapkan ialah tiga jam, manakala paling lama pernah mengambil masa sehingga dua hari.
“Saya menggunakan pelbagai jenis pen khat termasuk daripada kayu resam, selain dakwat kalis air kerana lebih cantik, berkilat dan tahan lama. Saya biasanya menulis pada waktu malam selepas isyak atau zuhur kerana waktu itu lebih tenang tanpa gangguan.
“Bila menulis khat, antara nasihat daripada guru saya ialah dalam keadaan berwuduk, mendengar bacaan al-Quran atau selawat ketika berkarya,” ujarnya.
Katanya, hasil khat yang mengandungi ayat suci juga perlu digantung di tempat tinggi sebagai tanda penghormatan.
“Sejak mula menerima tempahan pada 2013, saya sudah menyiapkan lebih 1,000 karya khat termasuk tempahan dari Mesir dan Singapura,” katanya.
Tambahnya, seni khat hasil karyanya bersaiz A3 berharga antara RM100 hingga RM300 dan bagi yang mahu membuat tempahan boleh menghubunginya di talian 011-19019528.














