KEBELAKANGAN ini, anak-anak rajin mengajak saya untuk membawa mereka turun memancing. Mungkin disebabkan mereka teringin merasai sendiri pengalaman itu setelah kerap melihat gambar saya bersama ikan.
Lokasi yang saya tujui adalah satu lombong di Tanjung Tualang, Perak kerana terdapat banyak ikan yang boleh dipancing dasar seperti lampam, patin, rohu dan sebagainya. Umpan-umpan yang saya gunakan adalah dedak, palet, roti dan cacing.
Ikan pertama
Sekitar pukul 12.30 tengah hari, kami bertolak dan singgah makan dahulu sebelum ke lokasi memancing. Perjalanan ke lombong tersebut memakan masa sekitar 45 minit dari Ipoh, dan saya memilih untuk memancing di satu sudut yang redup.
Sebelum turun memancing, anak bongsu saya, Aufa yang paling teruja untuk memancing. Setelah menunggu hampir 10 minit, umpan dedak dengan mata kail rambai yang digunakan telah dimakan ikan.
Jadi, Aufa merasai sendiri pengalaman menarik ikan buat pertama kali dalam hidupnya.
Walaupun saiz lampam jawa yang dinaikkan tidaklah besar, namun cukup memberikan kepuasan kerana hajatnya untuk merasai tarikan ikan tercapai akhirnya.
Kakaknya, Aisyah tidak mahu kalah apabila jorannya pula dihenjut seekor ikan patin yang agak kasar. Hasil tunjuk ajar saya, dia berjaya menaikkan ikan tersebut.

Tiada apa yang lebih menggembirakan seorang ayah apabila berjaya merealisasikan impian anak-anak.
Kami terus bersilih ganti menaikkan pelbagai ikan seperti jelawat, tilapia, peacock bass dan sebagainya sehingga lewat petang.
Sekitar pukul 6.30 petang, kami memutuskan untuk menamatkan sesi pancingan dengan kedua-
dua mereka puas dan seronok memancing.
Tergambar kepuasan di wajah mereka hingga mengajak saya untuk memancing lagi.
Mungkin saya akan membawa mereka ke lokasi lain yang mempunyai ikan-ikan lebih besar selepas ini.
Bak kata pepatah, ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’.
Perkembangan kanak-kanak
Antara cabaran ibu bapa pada masa kini adalah anak-anak yang gemar menghabiskan masa dengan gajet. Berbeza dengan kita dahulu yang masanya dihabiskan dengan aktiviti luar.
Oleh yang demikian, aktiviti seperti memancing boleh dijadikan alternatif kepada anak-anak untuk mengurangkan kebergantungan mereka kepada gajet.
Aktiviti memancing banyak memberi manfaat kepada perkembangan kanak-kanak seperti meningkatkan kemahiran, memberi keyakinan diri dan kesedaran kepada alam sekitar.
Selain itu, ia mampu melatih anak-anak untuk mengawal emosi, belajar erti kesabaran dan mengurangkan tekanan.
Bagaimanapun, penting mereka pergi memancing bersama ibu bapa atau penjaga atas faktor keselamatan.
Sekiranya menaiki bot, pastikan mereka memakai jaket keselamatan dan sentiasa mengamalkan etika memancing yang betul.














