fbpx
JAMBATAN Huajiang Grand Canyon di Guizhou, China bakal menjadi jambatan tertinggi di dunia dengan ketinggian 625 meter.

Dron, robotik udara pasang jambatan tertinggi dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEMBANGUNAN jambatan menjadi lambang kemajuan di sesebuah negara. Dalam konteks China, jambatan sering dikaitkan dengan gabungan kepakaran teknologi, inovasi serta visi jangka panjang.

Salah satu jambatan paling mengagumkan adalah Jambatan Huajiang Grand Canyon yang dibangunkan di wilayah Guizhou.

Jambatan berketinggian 625 meter itu bakal menjadi yang tertinggi di dunia selepas dibuka kelak.

Jambatan Huajiang Grand Canyon dibina untuk merentasi Gaung Huajiang yang dalam.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Guizhou, Chen Jianlei, kos pembinaan jambatan itu dianggarkan sekitar 2 bilion yuan (RM1.18 bilion).

Ujarnya, jambatan itu membuktikan bahawa teknologi moden telah merevolusikan cara manusia menakluk cabaran alam semula jadi.

“Projek ini merupakan inisiatif Guizhou Transportation Investment Group Co. Ltd. iaitu sebuah entiti utama dalam sektor pengangkutan di wilayah ini.

“Ia dibina dengan kerjasama Shougang Shuicheng Iron & Steel Group (Shuigang) sebagai pembekal utama keluli yang diperlukan untuk struktur utama.

“Perancang utama projek ini ialah China Railway Hi-Tech Industry Co. (anak syarikat China Railway Engineering Corporation).

“Dengan ketinggian lebih 600 meter dari dasar gaung, jambatan ini menuntut pendekatan teknologi yang luar biasa bagi memastikan kestabilan, keselamatan dan ketahanan jangka panjang,” katanya.

Untuk makluman, wilayah Guizhou sangat terkenal dengan muka buminya yang bergunung-ganang, bergaung dalam serta dipenuhi sungai deras.

Gaung Huajiang merupakan salah satu yang paling mencabar kerana kedalamannya cukup ekstrem.

UJIAN beban dilakukan bagi menguji ketahanan struktur jambatan.

Tanpa jambatan tersebut, penduduk setempat terpaksa menempuh jalan berliku selama berjam-jam untuk menyeberangi kawasan tersebut.

Pengurus projek jambatan itu, Wu Zhaoming memberitahu, jambatan berkenaan bukan sekadar infrastruktur, tetapi satu penyelesaian yang memanfaatkan teknologi.

Ujarnya, jambatan itu boleh menghubungkan komuniti, mengurangkan masa perjalanan serta mempercepatkan pembangunan ekonomi antara wilayah.

“Cabaran utama pembinaan jambatan ini adalah untuk menegakkan struktur sepanjang hampir dua kilometer di atas jurang yang dalam.

“Kaedah konvensional seperti pembinaan tiang sokongan tidak sesuai kerana keadaan tanah berbatu dan berisiko tinggi terhadap hakisan,” ujar Zhaoming.

Tambahnya, teknologi moden memainkan peranan penting bagi membolehkan jurutera menggunakan pendekatan reka bentuk berasaskan kabel gantung (suspension bridge) dengan sokongan bahan serta peralatan canggih.

Menurut rekod, idea awal untuk membina jambatan itu muncul sekitar tahun 2015, ketika pemerintah wilayah Guizhou mula menilai strategi bagi menghubungkan kawasan luar bandar dengan bandar utama.

Kajian kelayakan dijalankan selama beberapa tahun bagi meneliti aspek geologi, aliran trafik serta potensi sosioekonomi.

Pada tahun 2019, reka bentuk akhir jambatan diluluskan dengan menampilkan konsep jambatan gantung sejauh 1,400 meter (1.4 kilometer).

Kata Zhaoming, projek itu telah dimasukkan dalam rancangan pembangunan infrastruktur nasional China.

“Kerja-kerja awal dimulakan pada tahun 2020 termasuk pembinaan jalan akses, penempatan tapak serta pemasangan peralatan berat.

“Walaupun berdepan cabaran pandemik Covid-19, projek ini tetap diteruskan dengan penekanan kepada automasi dan penggunaan teknologi jarak jauh,” jelasnya.

Kongsinya lagi, pada tahun 2022, fasa penting dicapai apabila menara utama jambatan mula ditegakkan.

Menara setinggi lebih 200 meter itu dibina dengan konkrit bertetulang yang berprestasi tinggi.

Setahun kemudian, kabel utama pertama berjaya direntangkan melintasi gaung menggunakan bantuan dron, sekali gus menjadi satu pencapaian yang dianggap bersejarah bagi projek itu.

Pada bulan ini, Jambatan Huajiang Grand Canyon dijangka siap sepenuhnya, dan majlis perasmian akan diadakan dalam masa terdekat selepas semua ujian keselamatan selesai.

Apabila dibuka kelak, struktur berkenaan bakal menjadi jambatan gantung paling tinggi di dunia dari segi jarak antara dek dengan dasar gaung.

“Salah satu teknologi teras yang digunakan dalam pembangunan jambatan ini adalah sistem kabel gantung berketumpatan tinggi.

“Kabel-kabel utama yang digunakan ini diperbuat daripada keluli berkekuatan ultra tinggi yang mampu menampung beban puluhan ribu tan,” tambah Zhaoming

Bagi memastikan tahap keselamatan maksimum, setiap kabel direka menggunakan teknologi penggulungan berbilang lapisan, di mana ribuan keluli halus digabungkan menjadi satu kabel gergasi.

Selain itu, proses pemasangan kabel tersebut melibatkan penggunaan dron dan sistem robotik udara yang berfungsi membawa hujung kabel dari satu sisi gaung ke sisi yang lain.

Menurut Ketua Jurutera Kumpulan Lebuh Raya Guizhou, Zhang Shenglin, teknologi itu amat penting kerana mustahil untuk pekerja manusia menyeberangi jurang dalam tanpa risiko.

“Kaedah ini mempercepatkan pembinaan, mengurangkan kos serta meningkatkan keselamatan jurutera di tapak projek.

“Keunikan projek ini juga terletak pada penggunaan teknologi Building Information Modeling (BIM) serta konsep Digital Twin,” katanya.

Tambahnya, melalui BIM, jurutera dapat mencipta model tiga dimensi dengan terperinci, lengkap dengan simulasi beban, aliran angin dan kesan gempa bumi, sebelum ia dibina.

Teknologi Digital Twin pula membolehkan setiap komponen jambatan dipantau dalam masa nyata melalui sensor yang dipasang sepanjang struktur.

Sensor itu akan mengukur data seperti tekanan, suhu, getaran dan tahap kelembapan. Data tersebut akan dihantar ke pusat kawalan untuk dianalisis menggunakan kecerdasan buatan (AI).

“Dengan cara ini, sebarang potensi masalah dapat dikenal pasti lebih awal bagi menjamin tahap keselamatan jambatan.

“Teknologi pintar ini menjadikan Jambatan Huajiang struktur yang bergantung pada sistem digital,” ujarnya.

Selain aspek reka bentuk, bahan binaan juga memainkan peranan penting.

Konkrit berprestasi tinggi digunakan bagi menahan tekanan serta cuaca ekstrem di kawasan tersebut.

Menariknya, lapisan perlindungan anti karat turut diaplikasikan pada kabel dan struktur logam untuk memastikan ketahanannya dalam jangka masa panjang.

Kongsi Shenglin, teknologi self-healing concrete turut diuji pada beberapa bahagian struktur.

Ujarnya, bahan itu mampu ‘menutup’ retakan kecil dengan sendiri melalui tindak balas kimia apabila terkena air.

“Walaupun projek ini memerlukan sumber yang banyak, namun pihak pemaju tetap menekankan prinsip kelestarian.

“Antara langkah yang diambil termasuklah penggunaan teknologi pembinaan hijau, di mana tenaga boleh diperbaharui seperti solar digunakan untuk menyokong operasi tapak.

“Sisa binaan juga dikitar semula bagi mengurangkan pencemaran,” katanya.

Selain itu, reka bentuk jambatan tersebut disesuaikan dengan landskap semula jadi untuk meminimumkan gangguan terhadap ekosistem sekitar.

Gaung Huajiang terkenal dengan biodiversitinya yang kaya, justeru langkah mitigasi seperti pemasangan jejambat ekologi untuk haiwan liar turut diambil kira dalam perancangan awal.

Selepas dibuka nanti, jambatan itu bakal membuka peluang ekonomi baharu, mempercepatkan perdagangan serta meningkatkan sektor pelancongan di kawasan sekitar.

Jambatan itu juga dijangka menjadi tumpuan pelancong antarabangsa kerana reka bentuknya yang mengagumkan serta memiliki ketinggiannya luar biasa.

Situasi ini secara tidak langsung akan memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat yang terpinggir akibat kesukaran akses. Kini, dengan adanya teknologi moden dalam pembangunan jambatan, komuniti luar bandar dapat menikmati hubungan lebih baik dengan bandar-bandar besar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN