SEPANG- Taktik sepasang suami isteri dan dua rakan mengedar dadah menggunakan kereta sewa tumpas selepas ditahan dalam serbuan di sekitar daerah ini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, selain pasangan berusia 27 hingga 39 tahun itu, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM16,500.
Katanya, dalam serbuan pertama, polis merampas 84.32 gram (g) syabu, 65g heroin, 14g ketamin, 300 biji eramin 5 dan kereta Perodua Myvi yang dipercayai digunakan untuk mengedar dadah.
“Mereka menjadikan kereta sewa sebagai pengangkutan untuk mengedar dadah di Sepang dan daerah berhampiran. Suspek dipercayai aktif sejak 2016 dan menjadikan hotel sebagai lokasi penginapan.
“Pasangan terbabit menyara kehidupan dengan upah RM1,600 bagi setiap penghantaran dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini hari ini.
Norhizam berkata, ujian saringan awal mendapati suspek lelaki positif amphetamine dan methamphetamine. Lelaki itu juga memiliki enam rekod ljenayah dan dadah selain dikehendaki (wanted).
Katanya, siasatan terhadap suami isteri itu turut membawa kepada penahanan dua lagi suspek lelaki tempatan berusia 35 hingga 39 tahun dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket tersebut.
“Dalam serbuan kedua, polis merampas syabu seberat 515g bernilai RM20,000 dan kereta Perodua Viva dipercayai digunakan untuk mengedar dadah.
“Kedua-dua suspek positif amphetamine dan methampethamine dengan seorang daripada mereka mempunyai lapan rekod jenayah serta dua kes dikehendaki,” katanya. – KOSMO! ONLINE