fbpx
ZAWIAH (dua dari kiri) bersama Mohd. Isa serta Nor Solehah (kiri) dan Faizah Suaida meneliti al-Quran bertulisan Braille di Abraj Al Janadriyah, Mekah semalam.

‘Saya tidak marah pada Allah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEKAH –‘Bergelap’ sejak 38 tahun lalu. Demikian takdir dilalui seorang pesara guru Matematik, Zawiah Mohamad, 62, yang dikesan menghidap glaukoma pada usia 16 tahun sebelum hilang penglihatan lapan tahun kemudian.

Namun, perjalanan hidup Zawiah tetap sempurna apabila memiliki empat anak serta enam cucu selepas mendirikan rumah tangga dengan Juruteknik Tenaga Nasional Berhad, Mohd. Isa Yakob, 62, pada Disember 1986.

Zawiah disahkan mengandung anak pertama sewaktu usia kandungan dua bulan apabila  mengalami kesakitan teramat sangat seperti pening, demam sehingga tidak dapat bangun selain mata seolah-olah dicucuk jarum.

Katanya, rasa mencucuk itu hilang pada pagi 26 September 1987 namun penglihatannya  hilang.

“Saya celik (buka mata) rasa boleh celik, sakitnya itu hilang tetapi tangan tidak nampak. Lihat depan tidak nampak. Jadi saya percaya inilah yang doktor kata, glaukoma akan berakhir dengan kebutaan,” katanya.

Dia berdepan dilema apabila dinasihatkan doktor untuk menggugurkan kandungan dan menjalani pembedahan mata dengan peluang untuk melihat semula 60 sehingga 70 peratus.

Namun, dia tekad meneruskan kandungan dan bayi lelakinya lahir pada 6 Mei 1988, disebabkan hilang pancaindera, wanita itu tidak dapat menatap wajah semua zuriatnya.

“Sebagai manusia biasa kita terima kematian sekali pun, kita tahu mati itu ‘pertunangan’. Saya hanya sempat tatap wajah suami, jika suami kata anak-anak ikut wajahnya saya iyakan sahaja,” katanya.

Zawiah, suami, anak kedua, Nor Salehah, 36, dan anak bongsu, Faizah Suaida, 25, antara jutaan tetamu Allah yang dijemput menunaikan haji tahun ini.

Wanita itu menetapkan satu matlamat di dalam hati untuk menunaikan haji meskipun tidak melihat Kaabah dengan mata fizikal.

“Mata fizikal memang tak berfungsi, tetapi mata hati kita ini, kita tahu kan? Saya rasakan Allah bagi mata hati yang lebih bagus berbanding dulu. Dahulu, kita rasa kalau pandang sesuatu secara fizikal, kadang-kadang kita rebah juga sebab terlalu yakin kan. Tengok kawan kita pun kadang-kadang melangkau pun kadang jatuh,” katanya.

Disebabkan kekurangannya itu maka dia dan suami mendaftar anak bongsu sebagai pengiring ketika berusia sembilan tahun.

“Hari ini saya tidak boleh tahan air mata, bukan kata sedih menyesal. Saya tahu, saya tidak marah pada Allah SWT. Saya tidak menyesal, saya tahu Ya Allah hanya boleh pinjamkan (penglihatan) selama 24 tahun (untuk) melihat dunia,” katanya.

Mohd. Isa berkata, sebelum bernikah dengan Zawiah, wanita itu telah menceritakan keadaan kesihatannya dan tidak pernah merasai kekurangan sebagai seorang wanita.

“Dalam Islam bila sudah berkahwin isteri kita adalah amanah, jadi kita kenalah bertanggungjawab sepenuhnya. Selepas isteri kita ada pula amanah anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Nor Salehah berkata, dia sanggup menangguhkan pengajian kenaikan gred sebagai jururawat bagi menjadi pengiring ibunya.

“Saya terima panggilan Tabung Haji ketika di dalam kelas. Saya beritahu kepada pengajar mahu berbakti kepada ibu sebagai pengiring haji. Sebab memang dari dulu saya dengan mak.

“Dari sekolah pun memang saya, tak pernah berpisah betul-betul itupun sebab pergi belajar. Itu saja. Saya berkahwin pun, kerja dapat di Selangor, saya minta tukar. Balik ke Tengganu sebab mak,” katanya yang sudah bersedia untuk menunaikan ibadah haji terutamanya menjelang kemuncak Masyair bermula 4 Jun ini.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN