fbpx

‘Nak harapkan pendapatan daripada lakonan semata-mata, memang susah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA  – Melerai tanda tanya ramai, pelakon Ruhainies mendedahkan sumber pendapatannya bukan hanya bergantung dengan bidang seni sebaliknya hasil menceburi pelbagai sektor lain.

Pemilik nama penuh Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 34, itu berkata, sukar untuknya terus bergantung dengan pendapatan sebagai seorang pelakon memandangkan persaingan dalam meraih tawaran lakonan hari ini sangat mencabar.

“Ramai ingat pendapatan artis datang dari lakonan saja. Sebenarnya lakonan adalah salah satu pendapatan berterusan dan yang lain seperti kolaborasi, penampilan istimewa di acara tertentu, pelaburan dan banyak lagi.

“Kalau nak harapkan pendapatan daripada lakonan semata-mata, memang susah sebab industri kita sangat berdaya saing.

“Ramai pelakon yang berbakat dan setiap tahun ramai juga wajah baharu muncul. Itu sebenarnya persaingan yang sihat tetapi begitulah cara industri berkembang,” katanya dalam satu hantaran Instagram Story.

Katanya, setiap anak seni perlu mempunyai perancangan teliti dan mengejar setiap peluang lain yang hadir supaya dapat menjamin masa depan.

“Sebab itu saya rasa penting untuk ada perancangan masa depan.

“Jangan bergantung pada satu sumber pendapatan sahaja.

“Selagi ada peluang, bekerja keraslah, menyimpan, melabur dan bina sesuatu untuk diri sendiri,” katanya lagi.

Jelas Ruhainies lagi, populariti yang dimiliki hari ini bukan bersifat kekal dan perlu sentiasa bersedia untuk melalui pelbagai perubahan dalam kerjaya.

“Populariti itu sementara dan akan sampai satu masa nanti, orang lain pula yang bakal naik dan bersinar.

“Begitulah kehidupan dan industri ini bergerak.

“Jadi, sementara kita masih diberi peluang, manfaatkanlah sebaik mungkin dan bersedialah untuk langkah seterusnya,” ujarnya.

Sebelum ini, sumber pendapatan Ruhainies sering menjadi bahan perdebatan ramai susulan dia kerap memuatnaik gaya hidup mewah dalam media sosial.

Dia bahkan pernah menegaskan kehidupannya juga tidak pernah ditaja oleh mana-mana lelaki berstatus ‘sugar daddy’ seperti didakwa ramai sebelum ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN