DALAM hiruk-pikuk arus hiburan yang tidak pernah berhenti melahirkan bintang segera, hanya segelintir mampu bertahan, apatah lagi bangkit selepas dilambung dan dihenyak badai persepsi.
Di tengah gelombang itulah, berdiri seorang wanita berjiwa besar, Nadeera, membuktikan bahawa bakat dan minatnya menggunung menjadi roh perjuangan yang tidak mudah dipatahkan.
Lebih sedekad mencatur nasib dalam belantara seni hiburan tanah air, akhirnya nama Nadeera tidak lagi sekadar gema samar di corong radio atau pelengkap program realiti.
Hakikatnya, anak kelahiran Mersing, Johor itu tidak berjalan di atas karpet merah bertabur tuah, sebaliknya meniti laluan berduri sebelum akhirnya menyala terang dengan kejayaan lagu Bukan Lagi Kita sekali gus melonjakkan dirinya sebagai naib juara Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39).
Kendatipun, selepas ledakan magis itu, langkahnya seakan-akan diperlahankan. Tempoh menanti single baharu terasa panjang membuatkan peminat mula gelisah, tertanya-tanya ke mana arah seterusnya.
Lebih pedih, wujud suara-suara sumbang yang melabelkan dirinya sebagai ‘one hit wonder’, seolah-olah kejayaan yang diraih hanyalah kebetulan semata-mata.

Terasa hati
Terkesan dengan kata-kata tersebut, penyanyi berusia 32 tahun itu tidak menafikan hatinya terusik.
“Sudah tentu saya sedih dan terasa hati dengan gelaran ‘one hit wonder’ tersebut. Apa pun keputusan dalam kerjaya ini bukan dibuat sendiri. Saya perlu berbincang dan membuat keputusan bersama pihak pengurusan (label).
“Contohnya dari segi pemilihan lagu, Bukan Lagi Kita sudah ada penanda aras dan tahap tersendiri. Jadi saya perlu pastikan single seterusnya sekurang-kurangnya setanding atau lebih baik.
“Proses memilih lagu itu sendiri mengambil masa yang panjang. Mungkin netizen lihat saya memperlahankan langkah, tetapi hakikatnya saya dan pengurusan mahu berikan yang terbaik,” katanya kepada HibGlam.
Mengulas tempoh ‘senyap’ yang dilalui, penyanyi bersuara lantang itu tidak menafikan wujud rasa gusar andai peminat lari apatah lagi dalam industri yang sentiasa bergerak pantas.
“Sejujurnya, memang risau tetapi saya percaya konsep ‘rezeki tidak salah alamat’. Dari segi peminat pula, siapalah saya untuk menghalang mereka meminati artis lain, namun saya percaya jika mereka benar-benar ikhlas menyokong, mereka akan terus setia.

‘Cuba Jadi Aku’
“Saya rasa lagu-lagu yang pernah dirakamkan ada keistimewaan tersendiri tetapi saya tahu kita tidak boleh memuaskan hati semua orang. Ada yang suka, ada tidak.
“Sekarang ini saya dalam proses bereksperimen dengan lagu-lagu sehingga saya dapat menemukan karya yang benar-benar kena dengan halwa telinga pendengar,” ujarnya.
Enggan sinarnya terus malap ditelan waktu selepas sepi tanpa buah tangan, juara Big Stage musim kelima itu akhirnya kembali dengan lagu berjudul Cuba Jadi Aku yang dilancarkan semalam, sekali gus menamatkan penantian panjang peminat.
Dalam diam, dia menyusun langkah, memastikan setiap detik kebangkitannya hadir dengan impak tersendiri.
Ditanya mengapa mengambil masa agak lama untuk kembali dengan single baharu, dia tidak berselindung, sebaliknya menjelaskan proses di sebalik pembikinan lagu tersebut memerlukan ketelitian dan kesempurnaan.
“Sejujurnya, lagu Cuba Jadi Aku ini sudah saya rakam sejak tahun lalu namun demi memberi kepuasan kepada pendengar, saya bersama komposer, Hael Husainisepakat untuk memberikannya lebih impak.
“Jadi kami merakam semula dan menyusun kembali keseluruhan lagu ini. Saya tidak mahu memberi hasil ala kadar kepada peminat yang sudah lama menunggu,” luahnya.
Mengulas lanjut, Nadeera mengakui cabaran sebenar sepanjang proses rakaman bukan terletak pada vokal, tetapi emosi yang perlu diterjemahkan dengan jujur.
“Lagu ini berkisahkan hubungan toksik. Mesej ingin saya sampaikan, tidak salah untuk berkata tidak dan meninggalkan persekitaran serta individu toksik dalam hidup demi kebahagiaan sendiri.
“Sepanjang proses rakaman, vokal bukan cabaran terbesar, tetapi permainan emosi. Dari verse, chorus, bridge hingga ke penghujung lagu, saya perlu memberikan emosi berbeza. Sebenarnya emosi itulah yang mengawal lontaran vokal dalam penyampaian lagu ini,” kongsinya.
Enggan lagu sekadar keluar tanpa arah tuju, dia juga turut menyimpan impian besar untuk melihat lagu tersebut berdiri megah di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).
Dalam keterujaan mempromosikan single terbaharu, anak bongsu daripada dua beradik itu turut berkongsi perkembangan projek album sulungnya yang kini berada pada fasa paling kritikal iaitu pemilihan lagu terbaik.
“Sekarang saya berada dalam fasa akhir pemilihan lagu dan melodi yang sesuai dengan vokal serta genre ingin diketengahkan. Pemilihan komposer dan lagu bukan hanya bergantung kepada saya, tetapi turut melibatkan pihak pengurusan dan pasukan.
“Insya-Allah, jika semuanya berjalan lancar, album sulung saya akan dilancarkan tahun ini juga,” katanya.

Terus berjuang
Ketika semangat berkobar untuk kembali melancarkan karya baharu, pelantun lagu Emas itu tidak terlepas daripada dihimpit pelbagai tuduhan dan dakwaan dari segenap penjuru.
Bukan sekadar soal karier, malah fizikal, rupa paras serta setiap keputusan hidupnya turut menjadi bahan bicara.
“Saya juga manusia biasa yang tidak lari daripada rasa kecewa dan sedih dengan kritikan negatif tetapi selalu ingatkan diri, kritikan itu perkara biasa bagi setiap figura awam. Selagi ada keluarga dan rakan-rakan yang menyokong, insya-Allah saya kuat.
“Setiap kali berdepan kecaman, saya akan tanya diri sendiri, kenapa saya memilih kerjaya anak seni jika saya sendiri tidak kuat? Dan setiap kali rasa mahu berputus asa, saya akan ingat kembali detik awal mula menyanyi,” ucapnya.
Disebabkan tekanan tersebut, Nadeera mengakui mengambil pendekatan lebih berhati-hati dengan mengehadkan kehadirannya dalam media sosial, terutama platform Threads, demi menjaga kesihatan mental.
“Saya akui, saya memang kurang aktif dalam media sosial, terutamanya dalam Threads. Saya sendiri mengehadkan masa di platform itu demi menjaga kesihatan mental.
“Saya banyak menerima komen dan mesej toksik. Pengalaman itu membuatkan saya lebih berhati-hati dalam bersuara secara terbuka kerana saya takut setiap kenyataan disalah tafsir dan














