KUALA KRAI – Seorang wanita warga emas yang parah selepas dirodok gading seekor gajah sebelum dipijak haiwan tersebut semasa menoreh getah di Kampung Laloh di sini, pada 20 Mac lalu, selamat menjalani tiga kali pembedahan baru-baru ini.
Mangsa, Zainab Mat Husin, 62, terpaksa menjalani prosedur tersebut selepas jahitan pada bahagian pahanya tiga kali tercabut semasa dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), di sini.
Menantu warga emas itu, Mehrunisya Mohd. Ali, 37, berkata, pembedahan itu dijalankan dalam tempoh 20 jam selain perlu membuang daging pada bahagian punggung ibu mentuanya yang sudah hancur.
Menurutnya, keadaan ibu mentuanya ketika ini masih lemah, malah perlu memakai lampin pakai buang dan tiada selera untuk makan.
“Dia sudah dipindahkan ke wad biasa HSIP, namun perlu mengharapkan bantuan anak-anak untuk menguruskan pergerakan terutamanya ketika membuang air besar.
“Saya dan ahli keluarga yang lain perlu mengangkatnya untuk ke tandas kerana ibu mentua memang tidak boleh berjalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mehrunisya memberitahu, dia akan pulang ke Kuala Lumpur selepas pulang bercuti menyambut Aidilfitri sambil menjaga ibu mentuanya yang belum sihat sepenuhnya.
Katanya, dia hanya mampu berdoa agar ibu mentuanya cepat sembuh dan berharap balutan pada tangannya boleh dibuka.
“Saya harap ibu saya cepat sembuh dan kembali seperti biasa. Selepas ini, adik-beradik yang lain akan menjaganya.
“Saya akan pulang menjenguk ibu di hospital tidak lama lagi dan berharap kecederaan yang dialaminya tidak serius,” katanya.
Pada 22 Mac lalu. Kosmo! melaporkan, seorang wanita warga emas parah selepas dirodok gading seekor gajah sebelum dipijak haiwan tersebut di Kampung Laloh, di sini pada 20 Mac lalu.
Kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu berlaku semasa Zainab menoreh di kebun getah kira-kira 20 meter dari rumahnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani dilapor berkata, seorang anggotanya turut parah dipijak gajah tersebut selepas menjejak haiwan yang menyerang Zainab.
Mangsa, Mohd. Doral Ibrahim, 40, dikatakan stabil selepas menjalani pembedahan di HSIP.
Isteri Mohd. Doral, Nur Ain Fatimah Ariffin, 32, berkata, suaminya perlu banyak berehat selepas belakang paha kanannya mengalami kecederaan sebesar 7.6 sentimeter (cm) dengan kedalaman 17.7 cm. -KOSMO! ONLINE















